Oleh FAZLI
RADZI / September 15, 2021
Pas mengakui usaha untuk menentang Pakatan
Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan gagal jika Muafakat
Nasional (MN) yang dimeterai dengan Umno pada dua tahun lalu gagal
dipertahankan.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik
berpendapat, perpecahan MN adalah paling ditakutinya berbanding jika PH berjaya
merampas kembali Kerajaan Persekutuan.
“Jika orang bertanya kepada saya, apa yang
paling saya takut, PH rampas balik kerajaan ini atau MN pecah?
“Tanpa ragu saya akan jawab saya lebih takut MN
pecah. Kalau ditanya kenapa saya lebih takutkan perpecahan MN berbanding
tumbangnya kerajaan ini?
“Saya akan jawab. Jika MN pecah, kerajaan ini
juga akan tumbang dan sukar lagi untuk dikalahkan PH dalam keadaan MN sudah
berpecah,” katanya dalam hantaran di Facebooknya lewat tengah malam tadi.
Namun, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja
Pas Pusat yakin PH akan dapat ditumbangkan kembali jika hanya kerajaan yang
tumbang dan MN masih erat.
“Maaflah kalau pandangan saya berbeza dengan
anda (penyokong MN). Alasan saya, jika kerajaan ini tumbang hanya ada satu
kemudaratan iaitu KEKALAHAN.
“Tapi jika MN pecah akan ada dua kemudaratan
iaitu KALAH dan HILANGNYA RAHMAT PERSAUDARAAN,” tegasnya sambil menggunakan
huruf besar sepenuhnya bagi beberapa ungkapan tersebut.
Sehubungan itu, Mokhtar menyeru hubungan Pas
dengan Umno terus dipelihara agar tidak kecundang pada PRU-15 akan datang.
“Jagalah ikatan persaudaraan. Kerana ianya
rahmat Allah. Insya-Allah dengan rahmat persaudaraan ini kita tidak akan
terkalahkan,” katanya lagi.
Pendirian Mokhtar dengan mengaitkan MN itu
dilihat selari dengan reaksi beberapa pemimpin Pas mutakhir ini.
Bulan lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan
rasa dukacita sejurus Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik
sokongan terhadap Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata,
tindakan Zahid itu tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti
termaktub dalam piagam MN.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menegaskan
kembali bahawa penubuhan MN yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina
kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan
politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.
Menjelang penamaan Perdana Menteri menggantikan
Mahiaddin sebelum ini juga, Pas kembali menyeru nama MN selepas platform
kerjasama gabungan politik Melayu-Islam itu dilihat ‘sepi’ sepanjang tempoh 17
bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menegaskan
pembina MN adalah Presiden Umno dan Pas berserta seluruh ahli kedua-dua parti
itu.
“Kukuh Muafakat Nasional, kukuhlah kesatuan umat
yang kian berkembang dari satu tahap kepada satu tahap lebih baik yang akan
menjamin kejayaan dan kesejahteraan negara,” kata Ahli Parlimen Bachok itu.