“PERJUANGAN MESTI BANGKIT SEMULA SETIAP KALI MENEMPUH KEKALAHAN DAN KEGAGALAN”

 

Persaingan DSAI dengan Ismai Sabri dalam pemilihan PM ke-9 berada di tahap paling personal kepada saya.

DSAI adalah seorang pemimpin perjuangan rakyat yang saya sokong.DSAI adalah juga Presiden parti saya dan sahabat saya.

Manakala Ismail Sabri adalah calon PM dari parti UMNO yang saya tentang sepanjang usia politik saya dari muda hingga ke tua ini.

Tetapi Ismail Sabri kepada saya di peringkat personal, dikesampingkan ideologi dan parti Umno yang didukungnya, beliau adalah sahabat karib saya juga.

Ismail Sabri yang saya panggil Sabri sahaja adalah bekas anak murid saya ketika beliau di Tingkatan Enam.Bukan itu sahaja, malah beliau adalah kawan duduk serumah ketika beliau seorang mahasiswa dan saya seorang guru Kolej swasta di Kuala Lumpur.Saya rapat dengan keluarga Ismail Sabri.

Jadi pada hari Selasa 17 Ogos 2021 saya terpaksa memilih antara DSAI pemimpin saya dengan Ismail Sabri Yacob, calon PM parti lawan saya.

Saya tidak teragak-agak telah memilih DSAI sebagai calon PM ke-9 Malaysia.

Saya percaya DSAI boleh memberi kepimpinan untuk selamatkan Malaysia dan rakyatnya dalam melawan Pandemik Covid-19, membawa negara ini keluar dari kemunduran ekonomi, membina sebuah negara Malaysia yang demokratik dan adil untuk seluruh rakyat dari pelbagai kaum dan agama.

Ada kemungkinan saya diantara ahli parlimen yang terawal menghantar perutusan akuan berkanun ke Istana Negara untuk memperakukan sokongan dan kepercayaan kepada DSAI sebagai PM ke-9.

Seperti ribuan rakyat dan penyokong yang berasa hiba dan sedih kerana DSAI masih belum terpilih untuk diangkat sebagai PM, saya dan keluarga, isteri dan anak-anak juga turut sugul dan bersedih.

Tetapi masa merawat kesedihan dan hiba.Kehidupan perlu diteruskan, perjuangan mesti bangkit semula setiap kali menempuh kekalahan dan kegagalan.

Saya mendapat kekuatan semula.

Sebagai seorang sahabat, sebagai bekas guru dan rakan serumah, maka selepas solat Subuh pada pagi ini, saya telah mengirim ucapan tahniah kepada Ismail Sabri Yacob atas perlantikannya sebagai Perdana Menteri.

HASSAN KARIM

Ahli Parlimen Pasir Gudang.


No comments: