Jawatan TPM patut diberi kepada Bersatu, kata pemimpin parti
PETALING JAYA: Jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu diberi kepada Bersatu sebagai parti kedua mempunyai bilangan Ahli Parlimen paling ramai dalam gabungan kerajaan hari ini.
Bekas pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang dipetik Utusan Malaysia berkata tindakan itu wajar memandangkan Muhyiddin Yassin dengan berjiwa besar telah berkorban meletak jawatan bagi memberi laluan kepada wakil Umno menjadi Perdana Menteri baharu.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tebrau bagaimanapun berharap semua pihak akan menyokong wakil daripada parti mana pun yang dipilih demi kestabilan politik.
“Ini (jawatan Timbalan Perdana Menteri) hak parti masing-masing. Siapa-siapa boleh membuat tuntutan kerana ketika ini tidak ada parti yang betul-betul cukup majoriti dan harap parti lain beri sokongan.
“Bila keadaan ini berlaku (tidak cukup majoriti) sudah tentu ada tawar-menawar, saya difahamkan bukan Bersatu sahaja tetapi Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Khamis lalu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Jemut Masing menegaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri wajar diberi kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak sebagai mengiktiraf sumbangan dua negeri tersebut dalam pembentukan kerajaan dan politik yang stabil.
Mengulas lanjut, Mazlan turut memberitahu, tuntutan GPS untuk jawatan tersebut dibuat atas alasan pemimpin dari Malaysia Timur tidak pernah diberikan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
Namun katanya, terpulang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan sama ada perlu atau tidak jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan, dan siapa calon yang mahu dipilihnya.
“Siapa juga yang menjadi Perdana Menteri sudah tentu akan tertekan berdepan situasi seperti itu kerana pasti ada ugutan sekiranya permintaan tidak dilayan.
“Perdana Menteri akan sentiasa dalam tekanan, mereka kena hadapilah kerana mereka sanggup (terima jawatan). Kalau Perdana Menteri pilih siapa timbalannya, adakah nanti dipersetujui rakan-rakan dalam gabungan lain,” katanya.