Bacaan positif politik masa depan PH



Kenaikan DS Ismail Sabri tidak menjadi apa-apa kerugian atau kekalahan bagi PH kerana bagi pemerhati yang mendalam, PH memperolehi kemenangan prinsip berdasarkan senario berikut:


1. Perlagaan atau pertembungan sebenar adalah di antara UMNO dan BERSATU. PH tidak terlibat, hanya pemerhati dari tepi yang kadang-kadang mengambil peluang menyerang. Ini biasa dalam politik.


2. Bersatu menjatuhkan PH dan UMNO pula menjatuhkan Bersatu. PH adalah okay kerana mereka memang tidak fokus untuk menjadi kerajaan semula dengan cara ‘tebuk atap’. Mereka fokus kepada Pilihanraya Umum ke 15. Ini adalah prinsip yang baik. Kerana jika dengan lantangnya PH mengkritik tindakan ‘tebuk atap’, tapi akhirnya mereka juga masuk semula dengan cara yang sama walau dengan apa jua justifikasi sekali pun, ia akan mencipta imej yang ‘hodoh’.


3. Terbukti DSAI juga khususnya, tidak merancang untuk membentuk kerajaan dan menjadi PM selepas Muhydin secara 'tebuk atap'. Buktinya, dia tidak pun memujuk rayu GPS untuk bersamanya. GPS sendiri memaklumkan yang PH tidak menghubungi mereka untuk tawar menawar. Ini juga menunjukkan DSAI dan PH tidak pelahap kuasa untuk menjadi PM dan kerajaan secara ‘tebuk atap’.


4. Tindakan itu juga sebenarnya lebih tepat kerana tiada banyak faedah untuk menjadi PM untuk tempoh terlalu singkat (hanya maksimum 2 tahun) atau kurang daripada itu. Ini kerana, sejurus Covid19 terkawal, parti-parti akan mula merubah pendirian semula dan bakal menuntut pilihanraya atau menarik sokongan. Apabila itu berlaku, kerajaan akan runtuh kembali dan hanya kekal beberapa bulan sahaja. Tentunya DSAI dan PH tidak ingin menanggung kesalahan pentadbiran kerajaan PN, sebagaimana letihnya dahulu PH cuba membersihkan beban ‘najis pentadbiran’ yang ditinggalkan kerajaan BN serta membuat reformasi. 


5. Pengambilan kerajaan sewaktu pandemik COVID19 yang sedang terlalu teruk, kesilapan keputusan kerajaan PN dalam tangani pandemik itu, ekonomi dan pelbagai masalah lain, semua itu tidak cukup untuk ditangani dalam tempoh sangat pendek. Ditambah sifat ‘lalang’ ahli parlimen yang tidak mengambil kira hasrat pengundi mereka dahulu.


6. Jika diambil juga, kelak nanti sewaktu pilihanraya, banyak isu yang belum dapat diselesaikan oleh PH. Maka ini akan membuka ruang banyak isu ‘bola tanggung’ untuk dipersalahkan PH sahaja, sedangkan kekotoran sebenar ditinggalkan oleh BN dan PN. Akibatnya PH bakal menerima kekalahan teruk dalam pilihanraya umum akan datang.


7. Sekali lagi, kemelut politik yang wujud semuanya hasil pakatan khianat oleh team bekas PKR, Bersatu dengan UMNO dan PAS. Bersatu dan ex-PKR khianati PH, akhirnya PH dan rakyat yang undi calon atas dasar mereka mewakili PH yang menjadi mangsa penipuan pengkhianat ini. 


8. Kerajaan PN begitu gilakan kuasa dan bimbang kehilangannya sehingga membuat pelbagai tindakan tidak demokratik seperti darurat yang tiada hasil positif dalam melawan COVID19, malah derhaka kepada Agong dalam kes tamatkan darurat tanpa perkenan Agong, langgar titah agar buka parlimen segera sehingga ditegur dengan tegas oleh Istana. 


9. Kemudian UMNO khianati Bersatu untuk rampas kuasa daripada PN Muhyidin. Pemimpin UMNO melancarkan serangan terancang dan seolah-olah menggambarkan ada dua tiga kem dalam UMNO. Mereka bijak mencipta pertelingkahan sesama mereka untuk mengabui mata PM Muhydin yang berasa dia disokong oleh sebahagian UMNO dan ditolak oleh sebahagian yang lain, padahal semua UMNO ada perancangan di belakang. Dengarkan rakaman audio bocor ucapan DS Ismail Sabri dalam meeting UMNO selepas beliau hendak dilantik sebagai TPM, beliau sebut jelas sentiasa rujuk presiden dalam buat keputusan hatta nak buat sidang media. Jelas sekali, ia hanya sandiwara sesama mereka agar mereka mendapat kerusi PM.


10. DS Najib dan Zahid kerap menghentam kerajaan PN, seolah PN gagal dalam pelbagai perkara. Mereka bertindak seolah pembangkang, untuk memberi tekanan kepada PM Muhyidin. Padahal semua itu palsu dan drama sahaja, itu semuanya bukan untuk rakyat tetapi dicipta khas sebagai tekanan kepada bekas PM dan rampas kerusi PM. UMNO tidak sanggup menjadi follower, mereka hanya ingin menjadi leader. Buktinya, Najib yang hentam teruk kerajaan PN padahal Ismail Sabri dan ramai Menteri UMNO adalah ‘main player’ dalam kerajaan ’yang dihentam’ itu. Selepas berjaya menjatuhkan Muhyidin, mereka tanpa segan silu menyokong Ismail dan rakan Menteri UMNO yang gagal itu sebagai PM dan kerajaan baru. 


11. Ini termasuklah pemimpin UMNO yang lain yang hentam kerajaan pimpinan Muhydin sebelum ini.  Hasilnya kini BERSATU menjadi serba salah, dengarnya Muhydin arahkan semua mereka agar jangan mengambil apa-apa jawatan dalam Kabinet Ismail. Adakah arahannya akan ditaati? Kita lihat nanti bagaimana secara perlahan UMNO akan ‘membunuh’ parti BERSATU. Lebih hampir ke pilihanraya nanti, lebih jelas nyata kelak.


12. Jelas, semua kemelut politik dalam negara adalah tiada kaitan dengan PH, sebuah pakatan pembangkang yang juga ‘agak lemah’ ketika ini. PH sepatutnya jangan terbawa-bawa dalam kancah itu, kerana ‘silent voters’ yang bijak, dapat melihat jijiknya permainan UMNO, PAS, BERSATU dan PN. PH perlu FOKUS untuk mendapatkan sokongan bumiputera yang jatuh teruk akibat isu-isu Islam dan Melayu yang dipermainkan sebelum ini. Semua isu dikaitkan dengan Islam dan Melayu terancam sewaktu mereka jadi pembangkang kerajaan PH dulu seperti isu arwah Adib, DongZong, judi, pemandu mabuk, pengiktirafan sijil UEC dan banyak lagi. Bila berkuasa, langsung tak diselesaikan pun oleh PN yang didalamnya ada UMNO, PAS dan BERSATU. Beban yang dipaksa-tanggungkan ke atas PH dalam isu-isu tadi sudah boleh diletakkan dari bahu PH.


13. Lebih lucu, sewaktu ada ura-ura kluster mahkamah seolah-olah akan sokong DSAI dan PH, timbul kompang-kompang mengutuk PH kononnya cuba ambil geng kotor atau dapat sokongan kluster dengan tawaran dibebas kes etc. Tiba-tiba, geng kluster inilah yang menyokong pelantikan Ismail Sabri. Jadi mana kritikan yang dahulunya dihalakan kepada PH kononnya cuba mendapatkan sokongan kluster mahkamah?. Sekarang geng kluster sudah bersama mereka, mereka pun senyap dan senyum. Lihat, betapa hodohnya perangai wakil rakyat apabila tiada prinsip, jauh sama sekali dari prinsip Islam.


Akhir kalam, PH tidak kalah apa-apa dalam kelam-kabut politik negara kini. PH hanya perlu siapkan barisan, mantapkan persefahaman, bina sokongan dengan siri-siri pencerahan. Jangan bimbang, peluru-peluru lama yang dihalakan kepada mereka dulu sudah sejuk, bahkan boleh dijadikan peluru gajah untuk buat serangan balas dalam PRU akan datang.


- Abu Mishkat