BOB KELANANG
Tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub tidak
melantik semula Datuk Dr Khairudin Aman Razali sebagai menteri telah dipersoalkan.
Ini kerana, semasa menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan
Komoditi dahulu, beliau didakwa telah berjaya membawa pelaburan sebanyak RM82
bilion ke negara ini, satu kejayaan yang perlu dihargai.
Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dalam kenyataan
ringkasnya bertanya, “Setahun yang lalu bergema di Dewan Rakyat ada pihak yang
dikatakan bawa pelaburan dari Turki RM82 bilion.
Mengapa bekas menteri bawa pelaburan RM82 bilion dari Turki tak
dilantik?
“Kenapa yang berkata dan yang dikata tidak dilantik sebagai
menteri ya? Tak patut,” kata Hanipa dalam kenyataannya itu.
Sebelum ini kecoh di Dewan Rakyat, apabila ahli Parlimen Baling
dari Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengatakan Menteri Perusahaan
Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali membawa masuk pelaburan
bernilai RM82 bilion berikutan lawatan tiga hari beliau ke Turki.
Namun selepas dipersoalkan, Azeez membetulkan semula angka itu
dengan berkata Khairuddin membawa pulang pelaburan sebanyak RM82 bilion selama
setengah tahun beliau menjadi menteri. Kenyataan ini juga dipertikaikan oleh
ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Azeez cuba membela Khairudin yang diserang bertalu-talu ekoran
tindakan beliau datang ke Dewan Rakyat ketika beliau sepatutnya masih
dikuarantin selepas pulang dari rawatan pribadi ke Turki Julai tahun lalu.
Ketika mengumumkan senarai kabinetnya semalam, Ismail Sabri
tidak menyenaraikan ahli parlimen Kuala Nerus daru Pas itu sebagai anggota
jamaah menteri kabinet beliau.