KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Terengganu
mencadangkan agar parti itu keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN)
jika kerajaan masih gagal membuka Parlimen dengan segera.
Cadangan
itu dibuat supaya UMNO tidak terpalit dengan politik derhaka kepada raja
seandainya pendirian kerajaan terus acuh tidak acuh merealisasikan titah raja
dan tuntutan rakyat.
Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menegaskan
pihaknya bersetuju dengan ketetapan Pemuda UMNO Malaysia agar Parlimen Malaysia
perlu segera bersidang dalam tempoh 14 hari.
Jelasnya,
sebagai kerajaan yang mendukung tinggi prinsip demokrasi berparlimen dan Raja
Berperlembagaaan seharusnya memahami titah pandangan dan pendirian Yang
di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai panduan menyelesaikan kemelut
rakyat kini, dan bukannya membuat tafsiran-tafsiran di luar konteks asal.
”Melewat-lewatkan
titah ini dilaksanakan menggambarkan sebagai tindakan berpolitik yang menjurus
kepada penderhakaan. Pemuda UMNO Terengganu percaya Parlimen adalah platform
rasmi untuk ahli-ahli Parlimen mewakili rakyat masing-masing berbahas mencari
formula paling ampuh membantu percepatkan proses vaksinisasi dan program
bantuan ekonomi rakyat di musim PKP ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya,
kerajaan sepatutnya lebih bersifat inklusif terutama di dalam menerima idea
semua pihak bagi membantu saku rakyat yang jelas-jelas semakin berkurangan.
Sebagai
contohnya, pelaksanaan i-Sinar dan i-Lestari 2.0 wajar dibuka kembali kepada
rakyat ataupun setidak-tidaknya beri peluang perbahasan di Parlimen agar ruang
cadangan membantu rakyat lebih bercambah.
Menurutnya,
sikap sambil lewa kerajaan pusat melayani Terengganu dalam peruntukan tambahan
PKP 3.0 juga mengecewakan.
Sedangkan
dalam rekod kenaikan harga minyak mentah dunia, purata enam bulan pada tahun
ini adalah bersandar pada harga AS$68.85 setong maka seharusnya Terengganu
memperolehi sedikit tambahan pendapatan sekurang-kurangnya lebih RM600 juta
hasil royalti Petronas untuk Terengganu.
”Oleh
yang demikian, sangat penting bagi kami agar Parlimen bersidang segera untuk
Ahli-Ahli Parlimen Terengganu menyampaikan hasrat rakyat tempatan yang sangat
memerlukan bantuan tunai terutama kelompok B40,” tambah beliau.
Tengku
Haphiz berkata, Pemuda UMNO Terengganu turut bimbang terhadap program vaksinasi
di negeri yang agak perlahan sedangkan pendaftaran rakyat telah mencecah
440,000 orang iaitu melebihi separuh rakyat yang diberi keutamaan untuk divaksinkan.
Pusat Vaksin yang dibuka juga pula terhad kepada 14 buah sahaja di seluruh negeri menyebabkan pencapaian pevaksinisasian kepada rakyat kurang berkesan, katanya. – MalaysiaGazette