Anwar bidas pemimpin tidak hayati permasalahan rakyat

 MG-HQ-ANWAR-25052021_01


 


KUALA LUMPUR – Untuk tahu dan faham keadaan ekonomi negara sekarang, masyarakat perlu mendapatkan penerangan serta penjelasan dari pakar ekonomi, bukan menteri.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika rakyat bertanyakan menteri sudah tentu jawapannya konon pelaburan masih baik dan meyakinkan, ekonomi terkawal dan rakyat hidup selesa.

“(Jawapan) ini purbakala. Pimpinan yang tidak faham masalah berlaku di bawah dan derita rakyat kerana mereka hidup selesa, elaun tinggi, kerja semakin berkurangan. Sebab itu, mereka tidak dapat memahami, menghayati erti permasalahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden ketika merasmikan Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya, hari ini.

Anwar turut menyentuh mengenai unjuran ekonomi negara yang disifatkan jauh menyimpang daripada sasaran, tidak lagi tepat dan bercanggah dengan unjuran yang dikeluarkan oleh pakar ekonomi.

Oleh itu, kata beliau, Malaysia kini sudah berada dalam kemelesetan ekonomi dengan unjuran yang dibentangkan oleh menteri untuk tahun ini juga tidak meyakinkan.

“Kita (kalau) nak faham ekonomi, bukan dari menteri. Menteri kalau kita tanya, mereka mesti akan jawab, pelaburan masih baik, meyakinkan, ekonomi terkawal, rakyat selesa, ini semua cerita purbakala.

“Kita juga tahu dengan penutupan kilang-kilang yang mencecah ratusan ribu, sebagai dinyatakan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia. Semua ini hakikat yang sedang berlaku,” katanya.