Orang ramai mempertikaikan bagaimana hukum Islam boleh berubah-ubah mengikut keperluan semasa Pas sebagaimana yang dinyatakan oleh pemimpin Pas termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Poster dan keratan akhbar kenyataan Presiden Pas yang berubah-ubah sepanjang zaman kini disebarkan oleh orang ramai berikutan kenyataan terbarunya agar jangan menyokong Pakatan Harapan sekali lagi berikutan kemelut yang dihadapi kerajaan Perikatan Nasional yang disertai Pas.
Melabel Pakatan Harapan (PH) sebagai “melampau terhadap Islam” Presiden Pas itu semalam tampil dengan pandangan mengharamkan orang ramai bersama gabungan tersebut.
Dalam catatan terbarunya di media sosial itu Abdul Hadi membuat ulasan berkenaan pesanan Nabi Muhammad SAW kepada orang beriman agar bijak menghadapi cabaran sama ada daripda kawan atau lawan.
Bagi orang ramai, ketika PN tersepit, sekali lagi DAP menjadi sasaran padahal sebelum ini beliaulah juga yang pernah mengajak rakyat menyokong DAP dan menghukum Umno dengan hukuman yang teruk.
Hujjah Hadi telah dijadikan modal oleh ahli dan pemimpin Pas untuk menyerang DAP termasuk pemimpin Pas yang paling terpalit dengan masalah sehingga memberikan imej buruk kepada Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.
“Jangan mudah tertipu dengan gerakan DAP dan PKR untuk kembali berkuasa,” kata Khairuddin menggunakan kenyataan Hadi itu.
Hadi pernah memberikan pandangan agama dengan berkata, “Wajib sokong DAP, haram sokong Umno sehingga kiamat” antara keratan media yang disebarkan selepas kenyataan Hadi dan Khairuddin itu.
Kenyataan Hadi ketika berbaik-baik dengan Umno selepas PRU 2018 juga disebarkan.
“Wajib undi calon BN” kata Hadi dalam satu berita ketika Pas menyokong calon BN yang bertanding dalam satu pilihan raya kecil.-MD