Panas! Zahidi desak Zahid dedah Ahli Parlimen UMNO sain SD sokong Anwar

 

Panas! Zahidi desak Zahid dedah Ahli Parlimen UMNO sain SD sokong Anwar

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didesak menjelaskan siapa di kalangan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang menandatangani akuan bersumpah (SD) agar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa, ini bagi membolehkan UMNO mengambil tindakan disiplin di atas perbuatan ahli Parlimen UMNO berkenaan.

Tegasnya, perkara itu adalah bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan persetujuan sebulat suara perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu yang menetapkan dasar ‘No Anwar, No DAP’.

“Siapa yang tandatangan sokong Anwar itu, dia tidak selari dengan keputusan MKT, jadi siapa yang tandatangan itu boleh ambil tindakan disiplin ke atasnya.

“Presiden UMNO juga kena dedahkan siapa yang tandatangan dokumen itu,” dakwanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, sebuah portal melaporkan, Zahidi yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, menggesa pemilihan disegerakan supaya Ahmad Zahid dapat mengubah keputusan parti yang sebelum ini menolak kerjasama dengan Anwar.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim juga sebelum ini meminta Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan terhadap Ahmad Zahid atas tindakannya yang didakwa menyanggahi keputusan yang dibuat ketika PAU lalu.

Beliau juga mendakwa, Ahmad Zahid perlu dikenakan tindakan kerana terbabit dalam isu surat sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri yang telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, media memetik Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai berkata, ada usaha mengumpulkan SD, yang beliau dakwa sebagai cubaan pihak tertentu mengambil alih kerajaan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pontian itu mendakwa, beliau dan ‘rakan-rakan’ lain tidak didekati, atau diminta menandatangani apa apa pengakuan.