KUASA LANJUT ATAU TAMATKAN DARURAT BUKAN DI TANGAN JEMAAH MENTERI, YB TAKIYUDDIN


Oleh: Isham Jalil

Semalam Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan berkata Jemaah Menteri yang akan menasihati Agong dan menentukan sama ada darurat akan ditamatkan atau dilanjutkan.

Takiyuddin berkata, "Menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat."

Takiyuddin berkata Baginda bertindak atas nasihat Jemaah Menteri mengikut Perlembagaan seperti mana ketika Baginda mengisytiharkan darurat pada Januari lepas.

Oleh itu, katanya, "Oleh yang demikian, persoalan sama ada darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara Agong seperti dibangkitkan tidak seharusnya timbul."

Apa yang Takiyuddin kata di atas merujuk kepada Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang mana YDP Agong perlu bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri atau seorang Menteri yang bertindak di atas kuasa am Jemaah Menteri (iaitu Perdana Menteri atau dalam hal darurat ini Menteri Undang-undang Takiyuddin sendiri).

Maksudnya, apa yang Takiyuddin mahu sampaikan boleh dibaca kononnya Agong tidak ada kuasa untuk tamatkan darurat tanpa nasihat Jemaah Menteri mengikut Perlembagaan seperti mana juga Baginda telah mengikut nasihat Jemaah Menteri ketika mengisytiharkan darurat dahulu.

Oleh kerana Jemaah Menteri diketuai oleh Perdana Menteri, maka berdasarkan kepada apa yang Takiyuddin kata ini juga, secara efektifnya kuasa untuk menamatkan darurat adalah kononnya berada di tangan Perdana Menteri dan bukannya di tangan YDP Agong, yang hanya boleh bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

Saya lihat apa yang menteri-menteri PN buat ini adalah mentafsirkan Undang-undang mengikut kepentingan mereka sahaja, seperti juga yang dibuat oleh Menteri Kewangan minggu lepas bila dia tidak mahu beri moratorium.

Ini tidak bertanggungjawab, mereka tidak boleh mentafsirkan undang-undang sesuka hati.

Apa yang Takiyuddin kata ini tidak tepat malah tidak betul.

Ini kerana apabila darurat diisytiharkan, secara efektifnya Perlembagaan adalah digantung.

Sebab itu kerajaan boleh menggantung dan menutup Parlimen walaupun mengikut Perlembagaan mereka tidak boleh berbuat begini.

Dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Parlimen tidak boleh ditutup tanpa persidangan melebihi enam bulan dalam sesuatu penggal.

Malah dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dinyatakan bahawa Proklamasi Darurat dan apa-apa Ordinan berkenaannya perlu mendapatkan kelulusan Parlimen.

Kedua-dua perkara di atas tidak dilakukan oleh kerajaan, kerana kerajaan dan Menteri tahu bahawa dalam tempoh darurat penggantungan Perlembagaan membolehkan mereka untuk memilih untuk tidak mengikut Perlembagaan atau mengubah (atau mengatasi) peruntukan Perlembagaan melalui Ordinan.

Apabila Perlembagaan digantung, maka peruntukan Perkara 40 iaitu keperluan untuk YDP Agong mendengar nasihat Jemaah Menteri juga adalah digantung.

Kerajaan tidak boleh memilih-milih untuk memakai separuh-separuh peruntukan Perlembagaan yang memihak kepada mereka tetapi menggantung separuh-separuh yang lain terutama yang melibatkan kuasa YDP Agong semasa darurat.

Lebih-lebih lagi apabila dalam tempoh darurat kuasa diserahkan ke tangan YDP Agong dan kedudukan dan kuasa Jemaah Menteri adalah kabur.

Ini memandangkan semasa darurat kuasa-kuasa statutori Jemaah Menteri adalah terdatang (derived) daripada Perlembagaan yang telah digantung.

Kuasa Jemaah Menteri yang tinggal hanyalah kuasa prerogatif yang terdatang (derived) daripada kuasa YDP Agong; dan dalam tempoh darurat Jemaah Menteri tidak boleh menggunakan statut (atau Perlembagaan) untuk mengatasi kuasa ini, seperti yang cuba dilakukan oleh menteri jika dia menyatakan yang Agong perlu mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Tambahan lagi, dalam Perlembagaan tidak pun disebut tentang pengisytiharan penamatan darurat.

Oleh itu jika mengikut statut atau Perlembagaan pun Jemaah Menteri tidak ada kuasa untuk menasihati Agong untuk menamatkan atau menyambung darurat setelah proklamasi pertama dibuat sebelum darurat berkuatkuasa dahulu.

Maka, setelah darurat diisytihar, ia terserah kepada budi bicara YDP Agong untuk membuat keputusan dan bukan lagi di tangan Jemaah Menteri atau Perdana Menteri yang tidak lagi ada kuasa untuk menasihati YDP Agong.

Maksudnya, YDP Agong boleh mendengar nasihat mereka atas budibicara sahaja dan tidak perlu ikut nasihat mereka ketika darurat.

.........

Satu perkara lagi, apabila kerajaan melanjutkan darurat (contohnya selama 6 bulan lagi selepas 1 Ogos 2021), kerajaan tidak perlu membentangkan Bajet 2022 pada akhir tahun ini di Parlimen.

Ini kerana dalam tempoh darurat, kerajaan boleh mengeluarkan Ordinan perbekalan dan meluluskan bajet mereka sendiri tanpa melalui kelulusan Parlimen.

Dan mereka (kerajaan PN) pun masih berdegil tidak mahu buka Parlimen.

Oleh itu mereka boleh buat bajet sendiri, lulus sendiri, dan belanja sendiri apa yang mereka mahu dengan mengguna duit rakyat.

Sementara itu situasi COVID-19 semakin buruk walaupun darurat telah dilaksanakan sejak awal tahun ini.

Jika kerajaan hari ini ikhlas mahu bantu rakyat dan bukannya hanya mahu kekalkan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, bukalah Parlimen segera dan tamatkan darurat.

ISHAM JALIL

13 Jun 2021