Oleh: Isham Jalil
Semalam Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan berkata Jemaah
Menteri yang akan menasihati Agong dan menentukan sama ada darurat akan
ditamatkan atau dilanjutkan.
Takiyuddin berkata, "Menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri
untuk terus menasihati Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara dalam
membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat."
Takiyuddin berkata Baginda bertindak atas nasihat Jemaah Menteri
mengikut Perlembagaan seperti mana ketika Baginda mengisytiharkan darurat pada
Januari lepas.
Oleh itu, katanya, "Oleh yang demikian, persoalan sama ada
darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi
bicara Agong seperti dibangkitkan tidak seharusnya timbul."
Apa yang Takiyuddin kata di atas merujuk kepada Perkara 40
Perlembagaan Persekutuan yang mana YDP Agong perlu bertindak di atas nasihat
Jemaah Menteri atau seorang Menteri yang bertindak di atas kuasa am Jemaah
Menteri (iaitu Perdana Menteri atau dalam hal darurat ini Menteri Undang-undang
Takiyuddin sendiri).
Maksudnya, apa yang Takiyuddin mahu sampaikan boleh dibaca
kononnya Agong tidak ada kuasa untuk tamatkan darurat tanpa nasihat Jemaah
Menteri mengikut Perlembagaan seperti mana juga Baginda telah mengikut nasihat
Jemaah Menteri ketika mengisytiharkan darurat dahulu.
Oleh kerana Jemaah Menteri diketuai oleh Perdana Menteri, maka
berdasarkan kepada apa yang Takiyuddin kata ini juga, secara efektifnya kuasa
untuk menamatkan darurat adalah kononnya berada di tangan Perdana Menteri dan
bukannya di tangan YDP Agong, yang hanya boleh bertindak atas nasihat Perdana
Menteri.
Saya lihat apa yang menteri-menteri PN buat ini adalah
mentafsirkan Undang-undang mengikut kepentingan mereka sahaja, seperti juga
yang dibuat oleh Menteri Kewangan minggu lepas bila dia tidak mahu beri
moratorium.
Ini tidak bertanggungjawab, mereka tidak boleh mentafsirkan
undang-undang sesuka hati.
Apa yang Takiyuddin kata ini tidak tepat malah tidak betul.
Ini kerana apabila darurat diisytiharkan, secara efektifnya
Perlembagaan adalah digantung.
Sebab itu kerajaan boleh menggantung dan menutup Parlimen
walaupun mengikut Perlembagaan mereka tidak boleh berbuat begini.
Dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Parlimen tidak boleh
ditutup tanpa persidangan melebihi enam bulan dalam sesuatu penggal.
Malah dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dinyatakan
bahawa Proklamasi Darurat dan apa-apa Ordinan berkenaannya perlu mendapatkan
kelulusan Parlimen.
Kedua-dua perkara di atas tidak dilakukan oleh kerajaan, kerana
kerajaan dan Menteri tahu bahawa dalam tempoh darurat penggantungan
Perlembagaan membolehkan mereka untuk memilih untuk tidak mengikut Perlembagaan
atau mengubah (atau mengatasi) peruntukan Perlembagaan melalui Ordinan.
Apabila Perlembagaan digantung, maka peruntukan Perkara 40 iaitu
keperluan untuk YDP Agong mendengar nasihat Jemaah Menteri juga adalah
digantung.
Kerajaan tidak boleh memilih-milih untuk memakai separuh-separuh
peruntukan Perlembagaan yang memihak kepada mereka tetapi menggantung
separuh-separuh yang lain terutama yang melibatkan kuasa YDP Agong semasa
darurat.
Lebih-lebih lagi apabila dalam tempoh darurat kuasa diserahkan
ke tangan YDP Agong dan kedudukan dan kuasa Jemaah Menteri adalah kabur.
Ini memandangkan semasa darurat kuasa-kuasa statutori Jemaah
Menteri adalah terdatang (derived) daripada Perlembagaan yang telah digantung.
Kuasa Jemaah Menteri yang tinggal hanyalah kuasa prerogatif yang
terdatang (derived) daripada kuasa YDP Agong; dan dalam tempoh darurat Jemaah
Menteri tidak boleh menggunakan statut (atau Perlembagaan) untuk mengatasi
kuasa ini, seperti yang cuba dilakukan oleh menteri jika dia menyatakan yang
Agong perlu mengikut nasihat Jemaah Menteri.
Tambahan lagi, dalam Perlembagaan tidak pun disebut tentang
pengisytiharan penamatan darurat.
Oleh itu jika mengikut statut atau Perlembagaan pun Jemaah
Menteri tidak ada kuasa untuk menasihati Agong untuk menamatkan atau menyambung
darurat setelah proklamasi pertama dibuat sebelum darurat berkuatkuasa dahulu.
Maka, setelah darurat diisytihar, ia terserah kepada budi bicara
YDP Agong untuk membuat keputusan dan bukan lagi di tangan Jemaah Menteri atau
Perdana Menteri yang tidak lagi ada kuasa untuk menasihati YDP Agong.
Maksudnya, YDP Agong boleh mendengar nasihat mereka atas
budibicara sahaja dan tidak perlu ikut nasihat mereka ketika darurat.
.........
Satu perkara lagi, apabila kerajaan melanjutkan darurat
(contohnya selama 6 bulan lagi selepas 1 Ogos 2021), kerajaan tidak perlu
membentangkan Bajet 2022 pada akhir tahun ini di Parlimen.
Ini kerana dalam tempoh darurat, kerajaan boleh mengeluarkan
Ordinan perbekalan dan meluluskan bajet mereka sendiri tanpa melalui kelulusan
Parlimen.
Dan mereka (kerajaan PN) pun masih berdegil tidak mahu buka
Parlimen.
Oleh itu mereka boleh buat bajet sendiri, lulus sendiri, dan
belanja sendiri apa yang mereka mahu dengan mengguna duit rakyat.
Sementara itu situasi COVID-19 semakin buruk walaupun darurat
telah dilaksanakan sejak awal tahun ini.
Jika kerajaan hari ini ikhlas mahu bantu rakyat dan bukannya hanya
mahu kekalkan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, bukalah Parlimen segera dan
tamatkan darurat.
ISHAM JALIL
13 Jun 2021