Mohd Najwan Halimi
KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor,
Najwan Halimi digugurkan daripada jawatannya berkuatkuasa serta merta.
AMK dalam satu kenyataan berkata, langkah proaktif itu diambil
demi melakukan penyusunan semula atau rombakan barisan kepimpinan sayap PKR
itu.
“Berikutan daripada usul khas berkaitan
pemanjangan tempoh memegang jawatan bagi sesi kempimpinan 2018/2021 yang telah
diluluskan semasa Kongres Nasional PKR ke-15 yang lalu.
“AMK mengambil langkah progresif dengan melaksanakan penyusunan
semula barisan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (MPAMK) dan rombakan
jawatankuasa organisasi AMK Negeri Perlis dan Selangor,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Dalam penyusunan semula barisan kepimpinan sayap PKR itu, AMK
bertindak menggugurkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu
bersama Penolong Setiausaha AMK, Muhammad Naqib Nasaruddin.
Dalam surat AMK kepada Najwan yang
dilihat MalaysiaGazette, sayap itu berkata, rombakan menyeluruh itu dilakukan
di peringkat AMK Selangor.
Ia dibuat atas alasan memastikan AMK Selangor mampu menjadi
tulang belakang dalam memperkukuh jentera PKR khususnya di negeri Selangor.
“Maka berkuatkuasa daripada tarikh surat ini dikeluarkan, adalah
dimaklumkan bahawa Jawatankuasa AMK Negeri Selangor secara rasminya dibubarkan
dan Ketua AMK Malaysia akan menjalankan proses konsultasi mengikut Peraturan
Tetap AMK 2014 bagi memilih Ketua AMK Negeri Selangor yang baharu.
“Bagi pihak Ketua AMK Malaysia, saya
mengucapkan jutaan terima kasih atas segala khidmat bakti saudara sepanjang
berkhidmat sebagai Ketua AMK Selangor,” demikian menurut surat berkenaan.
Surat itu ditandatangani Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab.