Belajar pandai dengar cakap ‘lebai’

 



Beberapa puluh tahun yang lalu, terdapat empat orang remaja lelaki Melayu yang berjaya menempatkan diri di sebuah sekolah berasrama penuh. Mereka datang dari negeri yang sama. Nun jauh di sudut Semenanjung. Mereka tidak saling mengenal. Seorang gendut nama Sanusi. Seorang kurus namanya Mus. Seorang pendek-pendek dinamai Malik. Seorang segak-segak bernama Haslam.

Keempat-empatnya mengalami kejutan budaya yang amat sangat apabila tiba di sekolah tersebut. Maklumlah, terdapat juga anak-anak orang berada di situ. Pengarah itu ini. Pengurus sana sini. Pegawai macam-macam. Bagaimana anak-anak mereka dapat menyelit masuk di sekolah berasrama penuh itu tidak usahlah kita perihalkan. Kalau dibawa bual pun menyakitkan hati. Maka terdapatlah ruang mencelah untuk keempat-empat remaja di atas.

Di sekolah ini yang nama Mus agak beria sedikit kalau belajar. Sungguh-sungguh dia menelaah biologi. Cikgu yang mengajar pun comel lawa. Nama Natasya Khan. Bertambahlah ia berdebar di hati, dan makin tekun dia pelajari macam-macam pelajaran ilmu hayat. Oleh kecemerlangannya, dilihat juga dia ada bakat kepimpinan dan diberi tanggungjawab selaku ketua pengawas. Apabila masa Sijil Pelajaran Malaysia, Mus berjaya dengan gilang-gemilang.

Di sekolah yang sama, yang bernama Haslam itu minat betul menukang-nukang. Entah ada bakatnya di situ. Masuk Kelab Pertukangan sampai jadi pengerusi. Juga, dia belajar sungguh-sungguh tetapi kerana guru matapelajaran fizik itu suara kepit-kepit sedikit, Haslam tak berapa minat tetapi digagahkan jua sampai daya. Apabila masa Sijil Pelajaran Malaysia, Haslam bin Ngah ini berjaya. Meskipun tidak segilang-gemilang seperti Mus, tetapi tetap keputusan itu boleh dimegah dibangga.

Yang Sanusi di sekolah tersebut, membangunkan perangai malas-malas; terbawa-bawa perangai ayah datuknya. Belajar setakat ada. Kadang suka kadang tidak. Ponteng juga selalu. Main bola nombor satu dengan alasan mengeluarkan peluh. Kalau waktu kelas persediaan malam lebih suka bersembang borak santak bunyi loceng masuk tidur bergenta bunyi. Apabila masa Sijil Pelajaran Malaysia, Sanusi biasa-biasa saja. Cukup-cukup makan. Tidaklah teruk sangat, Pun tidaklah elok benar. Bolehlah ke universiti, lagipun Sanusi Melayu. Kalau Melayu memang dapat masuk universiti.

Yang nama Malik, dipanggil kawan-kawan Pendek itu paling tidak beria belajar. Dalam apa lapangan dan bidang pun si Pendek tidak begitu menyerlah. Lebih teruk daripada Sanusi, Malik memang tidak berapa peduli dengan pelajaran. Kejutan budaya dari kampung tidak dapat diatasi. Matanya meliar melihat pelajar puteri yang kemas menutup aurat. Kalau ditegur cikgu, bukan main membantah menyinga. Cuma ada satu kemampuan Pendek yang luar biasa. Dia pandai bercakap. Petah bukan main. Dan kemahiran dalam bahasa Arab ada sedikit nampak gah. Apabila masa Sijil Pelajaran Malaysia, Pendek tak berapa menjadi. Dia malah tak muncul pun ketika mengambil keputusan peperiksaan entah kerana malu atau memang tidak mahu bertembung dengan kawan yang lain.

Maka keempat-empat remaja satu sekolah itu pun menempuh nasib yang luar biasa.

Mus mendapat biasiswa dan melanjutkan pengajian di luar negara. Dia mengambil perubatan dan memang berbakat menjadi seorang doktor. Dia pulang ke tanahair, berkahwin dengan seorang gadis Serani (doktor gigi) dan memulai kerjaya di Hospital Lahad Datu. Sedikit demi sedikit dia memanjat tangga pentadbiran, kira naik gred berdikit-dikit dan dalam usia 50-an, menjadi orang besar di kementerian.

Haslam tidak lepas ke luar negara. Dia sekadar belajar di universiti tempatan. Waktu di kampus dia juga kerja sambilan. Kadang Haslam suka mengampu pensyarah untuk beroleh markah. Dan sebaik tamat universiti mengahwini anak seorang Dato’ dari Pahang. Haslam dapat pekerjaan hal kerja raya bab jalan dan parit. Kerana memang terbiasa kabel sana sini, Haslam melesat naik. Dalam usia 50-an dia juga sudah menjawat gelar besar di sebuah jabatan. Oleh sebab dia juga kacak, makin mudah dia disenangi. Staf bawah kakak makcik pula menggigit menjilat. Pusingan sama berulang lagi.

Sanusi masuk universiti biasa-biasa. Tidak lepas mengambil kursus-kursus sains kerana dianggap tidak begitu bijak. Ijazah Sarjana Mudanya juga umum sekali. Dia tidak berminat sambung pengajian tetapi di universiti, dia masuk kelab sebuah parti politik. Dia juga bertanding pilihan raya kampus dan jadi presiden. Si gendut beroleh perhatian dengan cara itu. Sebaik keluar pengajian tinggi, Sanusi menyunting kawan sekuliah. Mereka bahagia, kadang berkelahi, bahagia kembali, bertingkah, damai lagi dan pejam celik beroleh 12 orang anak. Sanusi masuk politik. Dia dakwa dirinya nasionalis dan patriot tetapi dia gemar ketuanan-ketuanan dan pengikutnya memanggil dia Papa Nus. Menjelang usia 50 tahun sebab konsisten menjilat, Papa Nus dapat bertanding jadi ADUN, kemudian jadi Ahli Parlimen. Dia tabur duit kepada pengundi, dan beri sepapan dua zink menutup atap berlubang tiap kali pilihan raya. Rumahnya macam kompleks diberi jolokan Villa Sanu.

Pendek, atau Malik dapat biasiswa kerajaan Arab. Dia berangkat ke negeri jauh. Dan selepas beberapa tahun menjadi ustaz. Dia pulang berkahwin dua orang isteri sekali serentak. Mengajar di sebuah madrasah, mengahwini isteri ketiganya pelajar sekolah di situ. Lama-kelamaan reputasinya sebagai ‘Tuan Guru’ semakin berkembang. Pandai pula bercakap menggoreng aneka fatwa. Kalau musim anti-LGBT, dia ceramah 33 kaedah menggagalkan LGBT. Kalau musim anti-Syiah, dia ligat mengkafirkan. Dia juga selalu naik haji umrah dan diundang ke masjid surau seraya membina pengikut. Menjelang usia 50-an, Pendek sudah jadi agamawan tersohor dan minta dirinya dipanggil ‘al-Malik’. Oleh mencanak naik suhu kecintaan kepada agama, penunggangnya akan beroleh sejahtera. Pendek menjadi pakar rujuk.

Apabila mereka bertemu semula dalam satu mesyuarat negara yang penting. Mereka sungguh gembira sambil menghimbau masa silam. Tatkala jamuan mesyuarat sama-sama makan karipap dan bihun lantas bertukar nombor telefon. Buat grup telegram. Mus meskipun bininya Serani, sudah rajin sejadah dan tasbih. Haslam memang saban tahun umrah. Sanusi lagi-lagilah, agama itu modalnya setiap kali musim pilihan raya.

Dalam grup telegram sembang macam-macam. Ada sekali Pendek mengatakan waktu kejatuhan Melaka, ada pesta di Vatican. Padahal orang pun tahu Vatican belum terbentuk, dan kalau betul ada pesta tentu terakam pada School of Athens. Pendek menguasai dalam grup itu.

Ketiga-tiga lelaki separuh umur di atas dalam mesyuarat negara meskipun ada pengalaman macam-macam, tidak banyak memberi pendapat profesional. Bila mereka berjumpa, banyak kenangan memori dilawati kembali. Inti urusan pentadbiran tidak begitu diperi.

Belajar pandai-pandai dengar cakap ‘Lebai’. Semuanya hanya melongo mendengar fatwa dan dalil Pendek. Kalau Pendek kata haram, semua terpuntung akal mengatakan haram. Kalau Pendek kata harus, semua tersengih tergelak nampak gigi macam dawai berus. Kalau Pendek kata gajah dan botol. Mus akan kata gajah duduk tepi botol. Haslam lebih berani akan berhujah gajah duduk atas botol. Sanusi akan berpendapat nekad yang gajah boleh masuk dalam botol. Malik atau Sheikh Pendek pula akan memberi Amanat Haji Malik yang gajah itu botol, botol itu gajah.

Soalan paling utama untuk kita; apa yang berlaku kepada nusa bangsa, negara yang tercinta di tangan mereka?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.