28 hari yang sia-sia – Asyraf Wajdi By Kasthuri Jeevendran

 MGF30032021_FORUM-DEMOKRASI51


Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Setelah 28 hari yang sia-sia, rakyat dipaksa lagi untuk berkurung bagi tempoh yang belum dapat dipastikan kerana kaedah baru di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) (nama baru PKP) bergantung kepada angka purata kes baharu Covid-19 hendaklah di bawah 4,000 kes.

Dengan kata lain kalau angka kes baharu masih di atas 4,000 adakah rakyat mesti terus berkurung di rumah.

Itu persoalan ditimbulkan oleh Ketua Pemuda UMNO Kebangsaan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata Asyraf, bagaimana hendak memberi jaminan kes jangkitan Covid-19 turun ke paras ke 4,000 andainya kilang-kilang penyumbang utama penularan terus dibenarkan beroperasi.

Malah kata Asyraf, angka syarikat diluluskan untuk beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga bertambah saban hari.

“Sejak awal PKP 3.0 dilaksanakan, Pemuda UMNO tegaskan jika TOTAL LOCKDOWN nak dibuat untuk tempoh 14-21 hari sebagaimana hayat inkubasi virus, maka buatlah betul-betul menyeluruh.

Kini dengan angka korban mencecah 4,944 nyawa, lebih 734,048 orang terjangkit, 32 juta rakyat Malaysia terseksa lebih enam bulan lamanya dan nilai ekonomi ratusan bilion ringgit lesap secara sia-sia. 

“Apakah kerajaan masih mahu ulangi dan guna pendekatan sama?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini. 

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin memberitahu fasa pertama kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir esok tidak akan ditamatkan, malah diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai ini.

Muhyiddin berkata, fasa pertama itu dilanjutkan kerana jumlah kes COVID-19 di negara ini belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya.

“Sekarang mereka kata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dah nak tamat. Saya kata, mulai sekarang kita tak sebut PKP, tapi kita sebut kita berada dalam fasa, sekarang ini fasa pertama (PPN) sampai Julai mungkin pertengahan bulan dan sebagainya.

“Bukan kata 28 Jun tamat PKP, itu silap…kita masih di fasa pertama PPN dan akan lanjutkan sehingga cecah nilai ambang bawah 4,000 kes dengan kes di Unit Rawatan Rapi tidak lagi berada pada paras tenat dan vaksinasi ditingkatkan,” kata Muhyiddin.

Sambung Asyraf, hakikatnya rakyat rela berkurung jika total lockdown yang betul-betul dilakukan, di samping kerajaan wajar menyalurkan salurkan bantuan.

“Rakyat rela berkurung tetapi Kerajaan juga harus salurkan bantuan dan buatlah LOCKDOWN yang betul-betul. Bahkan tagline yang kami gunakan pada waktu itu biar #SusahSekaliBukanBerkalikali,” tegasnya.