Laksamana Bentan
keluar berperang dengan lanun yang menggangu gugat perairan Johor, kepada
Sultan Mahmud lah disandarkan harapan untuk menjaga keluarganya dari sebarang
bahaya.
.
Isterinya, Dang Anum
sarat mengandung anak sulung Laksamana Bentan. Terlalu mengidamkan nangka dari
kebun diraja, dirayu kepada penjaga kebun agar dapat diberikan hanya seulas.
.
Terlalu kasihan akan
keberadaan Dang Anum, dicungkil seulas keluar dari nangka yang ditanggung untuk
santapan Sultan untuk tengahari. Gembira bukan kepalang Dang Anum dapat
melepaskan keinginannya terhadap nangka didalam kebun diraja.
.
Tiba masa untuk
menjamah, Sultan tersedar satu ulas telah hilang dari buah nangka berkenaan.
Marahnya bukan kepalang, santapannya diusik seseorang. Dipanggil tukang kebun
untuk dihukum.
.
Datanglah tukang kebun
ketakutan menghadap Sultan. Sepertimana manusia lain, tukang kebun juga manusia
biasa, ingin melepaskan diri dari nasib terkena hukuman Sultan.
.
Bercerita lah tukang
kebun, kejadian yang berlaku di kebun diraja.
.
Merah muka sultan,
ditambah dengan adu domba dari orang kiri dan kanan, terus dipanggil Dang Anum
isteri Laksamana Bentan untuk disoal.
.
Apabila diceritakan
oleh Dang Anum akan duduk situasi, sultan tidak berpuas hati, termakan hasutan
orang kiri dan kanan, terus sahaja dibelah perut Dang Anum untuk melihat adakah
anak didalam kandungan itu benar-benar mengidam nangka berkenaan.
.
Sultan terlupa, suami
Dang Anum itu sedang membawa perintah nya untuk menghapuskan lanun-lanun.
.
Matilah Dang Anum
sia-sia. Puaslah hati sultan.
.
Sampai masanya, pulang
Laksamana Bentan membawa berita gembira, lanun yang menggangu berjaya
dihapuskan, perairan Johor kembali rancak berniaga.
.
Sultan yang gembira
mendengar berita itu menghulurkan pelbagai jenis hadiah dan gelaran kepada
Laksamana Bentan, menghargai usaha kerasnya itu. Dia terlupa yang dia telah
membunuh isteri kesayangan Laksamana Bentan. Dia terlupa yang Laksamana Bentan
sangat cintakan isterinya.
.
Pulanglah dengan
girang akan Laksamana Bentan membawa pulang hadiah-hadiah dari Sultan untuk
bertemu cinta hati. Dipanggil berkali-kali cinta hati tetapi tidak bersahut.
Terus laksamana terjah ke rumah mencari setiap sudut kalau-kalau isterinya
sedang bergurau bersembunyi. Namun tidak jumpa.
.
Apabila tidak terjumpa
walaupun bayang sang isteri, terus laksamana bertanya kepada kenalan kemana
isterinya pergi.
.
Jawapan yang diterima
meluluhkan hati laksamana. Sultan yang diharapkan untuk menjaga keselamatan
keluarganya sewaktu dia keluar berjuang ibarat pegar makan padi.
.
Terpercik api marah
yang membara ganas didalam hati Laksamana Bentan. Terlalu marah sehingga Sultan
yang dahulunya sangat dikasihi kini dilihat sebagai makhluk yang wajib
dilenyapkan di muka bumi agar tidak menyusahkan orang lain di masa hadapan
kelak.
.
Tiba masanya, sewaktu
pagi Jumaat dimana Sultan dijunjung ke Masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Ditahan Sultan di tengah perjalanan hanya beberapa jarak sahaja lagi untuk tiba
di masjid oleh laksamana Bentan.
.
"Sultan adil disembah,
sultan zalim disanggah" - Jeritan dari laksamana Bentan yang sungguh
garang, seolah-olah dihadapan nya adalah seorang lanun yang wajib dihapuskan
sedangkan itu adalah Sultan.
.
Habis jeritan itu,
terus terhunus secara automatik keris di tangan Laksamana Bentan mencucuk
bertubi ke tubuh Sultan yang masih dijunjung oleh juak-juaknya. Parah luka di
badan Sultan, roh tidak lagi mampu bertahan di badan yang sudah lagi lemah
fungsi.
.
Seluruh kudrat
dihalakan ke tangan Sultan, dicabut keris yang tersisip di pinggang kemudian
dilemparkan kearah laksamana Bentan sehingga terkena ibu jari kaki laksamana.
.
"Jika aku Sultan
yang berdaulat, maka haramlah bagi Laksamana Bentan dan 7 keturunannya dari
menjejakkan kaki di sini", lepas nafas, terus Sultan menghembus nafas
terakhir.
.
Laksamana yang kakinya
terkena keris almarhum Sultan secara tiba-tiba muntah darah dan terjelupuk ke
tanah. Dan terus sahaja menghembus nafas yang terakhir.
.
Berakhirlah riwayat
Laksamana Bentan. Dan yang paling menghibakan, riwayat Sultan Mahmud bukan
sahaja habis malah keseluruhan keturunannya yang datang dari salasilah
Kesultanan Melaka juga tamat bersama-sama dengannya.
.
Rakyat berkorban jiwa
dan raga untuk merancakkan ekonomi Malaysia yang sedang terjejas akibat dua
keadaan, pandemik dan kebodohan pentadbiran pemimpin khianat.
.
Rakyat meletakkan
harapan agar Sultan menjadi penjaga kepada kehijauan bumi Malaysia agar
kehijauan ini dapat diwarisi dan dinikmati oleh keturunan rakyat yang akan
datang.
.
Malang sekali, pecah
berkecai harapan rakyat apabila melihat alam yang hanya satu-satunya warisan
yang ingin diwariskan kepada keturunan rakyat yang akan datang musnah dan
kemusnahan ini datang dari tangan yang sangat dipercayai untuk menjaganya.
.
Sepertimana berkecai
hati Laksamana Bentan mendengar berita isterinya terkulai di tangan Sultan,
begitulah berkecai hati Rakyat melihat alam hijau musnah di tangan ahli
keluarga Sultan.
.
Apa salah kami, wahai
Sultan?
.
Apa salah kami sampai
keturunan kami dinafikan terus untuk terus melihat alam hijau?
.
Apa salah kami? Apa
yang kami buat sampai keseluruhan kami keturunan kami dihukum sedemikian rupa?
.
ahmades
(Janganlah baca untuk
diri sendiri semata-mata, tolonglah tekan butang share agar ramai dapat baca)