Pemuda AMANAH gesa sidang Parlimen khas bincang isu Pal3stin

 


Pemuda AMANAH gesa sidang Parlimen khas bincang isu Pal3stin

PEMUDA Amanah Negeri Perak menggesa satu Sidang Parlimen Khas diadakan berhubung isu keganasan Rejim Zionis ke atas bumi Gaza.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata pendirian Malaysia tidak cukup hanya dengan Perutusan Perdana Menteri di kala beliau secara jelas menyokong Penyelesaian Dua Negara (2 state solution) semalam.

Sidang Parlimen Khas ini juga katanya, perlu apatah lagi PAS pernah menolak kaedah Penyelesaian Dua Negara dalam satu kenyataan mereka pada 2017.

“Malah kenyataan terbaharu Duta Khas Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam untuk terus berjihad dalam membebaskan Tebing Gaza dari Rejim Zionis, dilihat berbeza dengan kenyataan Perdana Menteri.

“Dua kenyataan yang berbeza daripada Perdana Menteri dan Duta Khas Timur Tengah sangat menuntut kepada satu Sidang Parlimen khas agar satu kenyataan rasmi dapat dikeluarkan dari Parlimen Negara.

“Pemuda Amanah Perak percaya Umno dan Pakatan Harapan juga akan bersetuju untuk diadakan Sidang Parlimen Khas ini demi kemaslahatan umat Islam di Tebing Gaza,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, mengambil sempena Hari Nakba yang jatuh pada Syawal tahun ini, Pemuda Amanah Perak menyeru agar blok kerajaan dan Pembangkang dapat bersatu hati dalam mengecam tindakan Zionis.

“Kenyataan lebih keras perlu dikeluarkan bagi memastikan Majlis Keselamatan PBB, Pertubuhan OIC dan Liga Arab mengambil tindakan segera bagi menghentikan kekejaman Zionis di bumi Gaza ini,” katanya..






No comments: