Terkini! Nik Amar sumbang keris untuk Pal3stin
Menginsafi penderitaan rakyat Palestin akibat serangan terbaru Israel, berbagai bantahan disuarakan, serta tidak kurang juga bantuan dihulurkan.
Demi Palestin juga, pemimpin PAS tampil menginfakkan harta milik mereka dengan mengutip sumbangan melalui lelongan amal.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Mohd Amar Nik Abdullah berhasrat melelong beberapa bilah koleksi kerisnya untuk tujuan amal dana Palestin.
“Antaranya ialah sebilah Keris Melela Lok 5 hasil tukang Kelantan (Arwah Stopa), bertatah perak, lok cun, hulu pipit teleng, serta gelang dan kasut putih.
“Seratus peratus hasil lelongan ini akan didermakan kepada #Aid4Palestine. Insya Allah. Semoga dipermudahkan,” katanya pada hantaran di media sosial malam tadi.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah pula mendermakan kereta Volvo miliknya demi Palestin untuk dilelong kepada pembida tertinggi.
“Kereta ini saja yang dah selesai hutang bank. Sayang sangat kat kereta ni tapi sayang lagi kepada saudara kita di Palestin.
“Saya beli kereta ni tahun 2018 dengan harga RM60,000.00…Pendek kata, kondisi kereta ni tip-top. Tak ada apa-apa yang perlu diperbaiki lagi,” katanya pada hantaran di Facebook semalam.
“Sesiapa yang berminat boleh pm inbox. Bidaan ini dibuka selama tiga hari dan pembida tertinggi akan dihubungi sebaik saja bidaan ditutup pada 18 Mei 2021 jam 3 petang.
“Pembida yang serius boleh menyertai bidaan ini, yang tak serius tak payah kacau daun,” jelasnya lagi.
Khamis lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang melancarkan kempen kutipan dana Aid 4 Palestine.
Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata sekretariat itu akan dipengerusikan Adun Batu Burok, yang juga anak sulungnya Muhammad Khalil Abdul Hadi.
“Sekretariat ini akan berfungsi sebagai koordinator jaringan badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin, serta menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah ‘crowdfunding’ dengan sasaran bantuan RM1 juta yang akan disalurkan terus ke bumi Palestin,” katanya.