Buka Parlimen, bincang isu pembelaan Palestin

 

Pada 

Oleh B. Suffian

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa membuka Parlimen dengan segera bagi membahaskan usul mengecam serangan Israel ke atas rakyat Palestin yang kian kritikal. 

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, amat wajar bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka Parlimen dan segera membahaskan isu pembelaan rakyat Palestin secara bersama tanpa mengambil kira perbezaan politik, untuk menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin. 

Dengan pembukaan semula Parlimen, menurutnya, ia akan merintis jalan untuk membincangkan isu-isu besar dan penting di dalam negara kita, khususnya ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.

“Pada 12 Januari 2009, Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah memanggil sidang khas parlimen bagi membahas dan mengusulkan 10 ketetapan bagi membela nasib rakyat Palestin akibat serangan rejim Israel ke atas Gaza pada waktu itu, bersama semua ahli parlimen. 

“Selepas itu, setiap kali Israel bertindak ganas, Parlimen Malaysia sentiasa mencapai kata sepakat mengutuk keganasan rejim tersebut, termasuk kali terakhir pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.