Jangan jadi Covid separah India dimusim perayaan
Rakyat Malaysia terutama yang berangama Islam bertanggungjawab mengelakkan situasi jangkitan Covid 19 di negara ini menghampiri India di musim perayaan Aidilfitri yang akan disambut beberapa hari lagi.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat sewajarnya mematuhi semua peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang musim perayaan bagi mengelakkan jangkitan Covid melambung selepas Hari Raya Aidilfitri
“Semalam catatan positif Covid adalah 4,498 kes dan dikhuatiri akan meningkat. Tujuan saya ialah merayu tanpa fahaman politik akan cara pengendalian permasalahan ini dengan Perintah Kawalan Pergerakan dan peraturan yang caca marba tetapi tanggungjawab kita untuk menyelamatkan diri, keluarga, jiran, masyarakat dan negara ini.
“Bermakna kita kena patuh semua SOP yang ditetapkan. Kita jangan jadikan perayaan Aidilfitri mubarak tempat lupa segala sekatan dan menyebabkan kadar jangkitan ke tahap India kerana seperti mana disebut oleh Ketua Pengarah Kesihatan hospital kita tidak mampu menerima pesakit lebih daripada yang ada sekarang.
“Jumlah pesakit sebagaimana yang saya sebut sebelum ini hampir kepada jumlah nisbah di India. Cuma jumlah kita lebih kecil. Kekuatan kita dibayangkan secara positif kerana kemudahan kesihatan kita relatif lebih baik maka kadar kematian rendah. Tetapi kalau jumlah pesakit bertambah besar keupayaan Unit Rawatan Rapi terbatas maka kadar kematian kemungkinan meningkat,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook, malam tadi.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu juga menasihatkan agar rakyat segera mendaftarkan diri untuk mengambil vaksin.
Katanya, terdapat bukti kukuh negara-negara yang telah memberi vaksin dengan jumlah yang besar kepada rakyatnya, situasi jangkitan Covid terkawal dan mula menurun.
“Saya mengajak semua memahami masalah ini. Yang ada ruang untuk vaksin tolong pergi vaksin, jangan dengar pandangan lain yang pelbagai. Semua kajian menunjukkan negara yang menjalankan banyak vaksin dengan sendirinya peratusan positif Covid menurun. Lebih tinggi vaksin, maka turun Covid.
“Kedua kita tahu vaksin ini ada keterbatasan. Sebab itu rakyat kena jaga rakyat. Vaksin kalau nak capai penyelesaian semua divaksin menjelang Februari 2022 bemakna tiap minggu setengah juta mesti divaksin. Sekarang jauh lebih rendah kita capai,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menyentuh kesan pandemik kepada ekonomi. Beliau tidak bersetuju sekatan yang terlalu tegas sehingga menutup banyak perniagaan kecil terutama penjaja yang semakin perit hidup tanpa kewangan menghadapi kemelesetan ekonomi.
Anwar menekankan pematuhan SOP, sama ada peniaga, pembeli atau rakyat biasa sehingga tidak memerlukan banyak polis untuk menguatkuasakan peraturan.
Manakala dalam pertumbuhan ekonomi, beliau membayangkan ekonomi Malaysia tidak baik pada tahun ini sebagaimana jaminan Menteri Kewangan kerajaan Perikatan Nasional tahun lalu.
“Dalam Belanjawan 2021 Menteri Kewangan kata kita akan ada faktor ‘V shape’, turun ekonomi dan melonjak naik. Ini tidak berlaku daripada angka diunjurkan oleh Kementerian Kewangan. Maknanya dampak kepada ekonomi akan lebih terkesan,” katanya.
Tegas beliau, kerajaan PN seharusnya memberi banyak tumpuan kepada rakyat biasa yang terkesan paling teruk berbanding golongan yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik.