APA PUNCA SEBENARNYA PENINGKATAN KES COVID 19


 Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan sebanyak 2,148 kes positif baharu Covid-19 pada Khamis 15 April 2021, iaitu tertinggi sejak 40 hari lalu (Sinar Harian 16 April 2021).

Adakah peningkatan ini disebabkan terdapat kes seorang selebriti terkenal merentasi negeri untuk berbulan madu di Langkawi?

Jawapannya sama sekali negatif.

Jadi apa punca sebenarnya peningkatan kes Covid-19 di Malaysia ini sejak lebih setahun yang lalu hingga kini?

Puncanya ialah sistem ekonomi negara kita yang pincang dan tak seimbang. Malaysia membenarkan bermaharajalela para kapitalis yang tamak mengejar keuntungan sehingga tidak peduli hal kesihatan dan kebajikan tempat tinggal ribuan para pekerja mereka.

Laporan kerajaan menyatakan 83 peratus kes Covid-19 di negara kita ini berpunca dari sektor pembuatan (manufacturing sector).

Pandemik Covid-19 bukan berpunca dari solat berjemaah di Mesjid ataupun membeli belah di Pasar Ramadhan (dengan syarat SOP dipatuhi).


Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan Pakatan Harapan dan Kerajaan Perikatan Nasional semuanya terlepas pandang, atau cuai, atau tak peduli tentang perlaksanaan dan penguatkuasaan Akta undang-undang yang bernama Housing and Amenities Act 2019 atau akta seumpamanya.

Semua menteri dan timbalan menteri Kementerian Sumber Manusia dari ketiga-tiga kerajaan yang disebutkan di atas adalah bertanggungjawab.

Kes Covid-19 bermula pada akhir tahun 2019. Akta tersebut yang juga dikenali sebagai Akta 446 adalah berkaitan dengan standard perumahan ataupun tempat tinggal pekerja.

Tetapi ramai yang tak peduli dengan pentingnya akta ini, sama ada di pihak kerajaan, dan lebih-lebih lagi pemain-pemain industri yang mengutamakan keuntungan wang ringgit melebih kebajikan para pekerja dan masyarakat.

Sektor pembuatan ini seperti kilang-kilang membuat sarung tangan getah dan yang seumpama dengannya adalah pengeluar yang terbesar di peringkat dunia.Hampir semuanya syarikat Malaysia.

Kilang-kilang tersebut mengguna tenaga buruh asing yang beribu-ribu orang. Syarikat-syarikat ini dalam tempoh Pandemik Covid-19 mengaut untung berbilion ringgit.

Tetapi para pekerja yang tidak berdosa itu duduk bersempit-sempit dalam asrama pekerja. Keadaan tempat tinggal pekerja tersebut ada yang semacam kandang kambing keadaannya.

Keadaan persekitaran yang tidak sihat maka mudah berjangkitnya virus-virus Covid-19 itu.

Penat sahaja Parlimen menggubal undang-undang tetapi kegagalan kerajaan menguatkuasakannya menjadikan undang-undang yang ada itu seakan sia-sia sahaja.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Pembantu Jurucakap Parlimen Keadilan

Pekerjaan Dan Hak Pekerja

Bertarikh 16 April 2021 (Jumaat)