Mana akhlak Islam MB Kedah mahu penduduk P Pinang guna air selut?

 


Isu kenyataan Menteri Besar (MB) Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang membayangkan penduduk Pulau Pinang akan menggunakan 'air selut' sekiranya Kerajaan Negeri itu gagal membayar caj air mentah masih diperkatakan.Bagi Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail, MB Kedah itu tidak mempunyai akhlak Islam sekiranya benar-benar mahu negeri jiran menggunakan air yang tidak sesuai diminum akibat projek pembangunan di Sungai Muda dalam wilayah Kedah.

Katanya, sebagai seorang pemimpin dari parti yang mengaku memperjuangkan Islam, akhlak yang buruk hanya akan merosakkan citra agama yang dibawa beliau.

"Ini bukan akhlak Islam. Saya sebagai orang Kedah, saya malu dengan kenyataan itu.

"Kenyataan ini tidak patut kerana kita hidup berjiran (dengan Pulau Pinang), kena sentiasa bersama dengan jiran, susah senang dan kita kena menunaikan hak masing-masing," katanya.

Selain itu, Dr Azman turut mempertikaikan keupayaan Sanusi sebagai MB kerana sering bergaduh dengan negeri jiran menuntut caj air. Sedangkan MB Kedah sebelum ini dari BN dan Pakatan Harapan tidak berbuat demikian.

Katanya, jika MB Sanusi tidak mempunyai idea untuk memajukan ekonomi Kedah selain daripada mengharapkan Pulau Pinang membayar caj air, lebih baik beliau meletak jawatan dan calon lain dilantik sebagai MB.

"Kalau dah (sudah) tiada idea, bagi orang lain yang ada idea," sinis Dr Azman.

Untuk rekod, baru-baru ini MB Kedah berkata negeri itu mempunyai banyak projek yang bakal dilaksanakan, sekali gus memberi kesan kepada aliran air di hulu Sungai Muda.

Sehubungan itu, beliau mahukan Pulau Pinang membayar caj air sekiranya tidak mahu projek pembangunan di Kedah mengeruhkan air di hilir sungai berkenaan.

 

No comments: