Pembeli rumah PR1MA terbengkalai tidak dibela, pemaju diberi pampasan?
Kelemahan kerajaan Perikatan Nasional semakin terserlah apabila satu demi satu projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bermasalah dan pembeli pula tidak dibela.
Terbaharu, pembeli-pembeli rumah PR1MA Melaka Tengah 2 melahirkan rasa kecewa dan kesal mengenai projek perumahan tersebut yang terbengkalai.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Akmal Nasir yang mendengar sendiri rintihan penduduk berkata, sebelum ini pembeli rumah PR1MA di Tebrau, Johor juga menghadapi masalah hampir serupa.
“Saya bersemuka dengan pembeli-pembeli rumah PR1MA Melaka Tengah 2 yang melahirkan rasa kecewa dan kesal mengenai projek yang telah terbengkalai.
“Seperti yang diketahui umum, pembeli rumah PR1MA rata-ratanya merupakan pembeli rumah pertama dan pasangan keluarga muda.
“Bagi kes rumah PR1MA Melaka Tengah 2, pembeli telah dijanjikan rumah mereka siap pada tahun 2020 namun lawatan tapak yang dibuat menunjukkan kerja-kerja pembinaan telah dihentikan.
“Berdasarkan semakan di laman sesawang PR1MA, terdapat 980 unit yang ditawarkan dan status projek adalah pada tahap 64 peratus manakala tarikh siap telah ditukar tanpa perbincangan dengan pembeli kepada awal tahun 2023,” kata Akmal dalam satu kenyataan.
Bersama beliau dalam mendengar keluhan pembeli tersebut adalah Datuk Halim Bachik, pengerusi KEADILAN Melaka, Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai serta Ketua AMK Melaka, Prasanth Kumar.
Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, daripada kajian yang dilakukan, rata-rata pembeli telah memulakan bayaran berperingkat (progressive payment) kepada bank sekitar RM300 sebulan.
Selain itu, katanya pembeli turut terpaksa menanggung kos rumah sewa di tempat lain serta perancangan kehidupan dan keluarga terganggu.
“Tidak sejawarnya mereka dibiarkan terkontang-kanting tanpa penjelasan yang munasabah daripada pihak Menteri mahupun PR1MA.
“Sekiranya diambil secara keseluruhan, kumpulan pembeli ini kini terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM200,000 sehingga RM300,000 tiap-tiap bulan bagi bayaran kepada bank, yang dijangka akan terus meningkat bertahun-tahun lamanya selagi rumah tidak siap.
“Ini adalah perbezaan yang amat ketara dengan pengumuman YB Zuraida Kamaruddin, Menteri KPKT dalam Parlimen pada Disember 2020, iaitu pampasan bernilai RM172 juta telah dibayar kepada pemaju membabitkan 17 daripada 32 projek PR1MA yang telah dibatalkan.
“Memandangkan Parlimen tidak dibenarkan bersidang, saya memohon melalui media untuk penjelasan daripada Menteri, mengenai beberapa perkara,” katanya lagi. Pertanyaan tersebut adalah:
- Senarai projek PR1MA yang telah ditukar tarikh siap, lewat dan terbengkalai serta berapa ramai pembeli yang menjadi mangsa kepada projek-projek tersebut?
- Mengapakah pemaju yang dibatalkan projek PR1MA boleh diberikan pampasan mencecah RM172 juta sedangkan pembeli-pembeli rumah PR1MA yang sakit dan terbengkalai tidak diberikan pembelaan sewajarnya?
- Adakah pihak pemaju lebih diutamakan berbanding dengan pihak pembeli?
- Apakah usaha KPKT bagi membantu pembeli-pembeli rumah PR1MA yang lewat, sakit dan terbengkalai bagi mengurangkan beban dan kerugian yang ditanggung mereka?
- Bagi kes rumah PR1MA Melaka Tengah 2, apakah perancangan pihak KPKT bagi mengurangkan bebanan RM200,000 – RM300,000 sebulan yang ditanggung oleh para pembeli.
Tegas Akmal, sekiranya Menteri tidak mampu menjawab soalan tersebut secara berterus-terang melalui media, beliau mendesak agar Menteri dapat mengarahkan Datuk Seri Shahidan Kassim, Pengerusi PR1MA untuk segera berhadapan dengan para pembeli.