KENYATAAN MEDIA
13 Mac 2021
1. Keputusan yang diumum YB Datuk Dr Xavier Jayakumar pagi ini
terjadi dengan latarbelakang kenyataan saya beberapa minggu lepas bahawa
ujudnya usaha tersusun oleh kerajaan minoriti untuk menarik sokongan ahli-ahli
parlimen pembangkang dengan cara umpan dan ugutan menggunakan PDRM, LHDN dan
SPRM.
2. Dr Xavier baru-baru ini telah bertemu pimpinan KEADILAN
memaklumkan bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan setelah SPRM
sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan
beliau berkait satu kes yang sedang berjalan.
3. Dr Xavier kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang
menyatakan beliau perlu menyokong Perikatan Nasional atau hadapi akibat yang
serius.
4. KEADILAN sebuah parti reform - pendirian kami amat jelas
dalam menentang rasuah, salahguna kuasa dan pelanggaran undang-undang tanpa
mengira pangkat dan kedudukan.
5. Walau bagaimanapun, hal yang berlaku sekarang adalah,
instrumen pemerintah termasuk SPRM sedang diperguna ahli politik kanan dalam
pentadbiran Perikatan Nasional untuk mengalih sokongan Ahli Parlimen Pakatan
Harapan dan pembangkang kepada Perikatan Nasional. Ini adalah satu bentuk
salahguna kuasa, terutama tatkala kita sedar isu rasuah dan salahguna kuasa
yang dilakukan pihak Perikatan Nasional seperti tidak diambil tindakan oleh
pihak berwajib.
6. Amatlah jelas kerajaan minoriti hari ini berlapik dengan
alasan darurat dan menggantung Parlimen sambil pada masa sama berusaha
mendapatkan sokongan lebih ramai Ahli Parlimen dengan cara menggunakan
agensi-agensi tertentu melalui taktik umpan habuan, tekanan dan ugutan.
7. Sebagai seorang yang lama mengenali Dr Xavier Jeyakumar -
Tindakan dan alasan-alasan beliau dalam kenyataan hari ini menimbulkan pelbagai
tanda tanya. Namun yang membezakan reformis tulin dengan yang lain ialah tahan
diuji pada masa senang dan sukar.
8. Saya ulangi gesaan agar semua Ahli Parlimen KEADILAN untuk
kekal teguh dan Istiqamah berpegang kepada prinsip dan landasan perjuangan
reformasi tanpa tunduk dengan umpan habuan dan ugutan.
9. KEADILAN dan Pakatan Harapan akan kekal dengan halatuju
sekarang yakni terus mempertingkat persiapan menuju PRU15 dan pada masa yang
sama berusaha mengembalikan mandat rakyat sesuai kerangka undang-undang dan
perlembagaan.
Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung KEADILAN