Pemergian Dr Xavier Jayakumar mungkin bukan yang terakhir dan
episod 'membeli' dan 'menekan' Ahli Parlimen pembangkang.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, akan ada lagi
episod-episod seterusnya kerana kerajaan Perikatan Nasional masih belum kukuh
biar pun telah mencapai kedudukan 112 kerusi daripada 220 kerusi Parlimen.
"Sama ada pada minggu atau bulan akan datang, bagi saya ia
tidak akan berhenti (cubaan berpaling tadah) dan akan bertambah kuat. Saya rasa
iman Ahli-ahli Parlimen pembangkang akan terus diuji. Tidak mustahil ramai yang
akan terkesan akibat ugutan, sama seperti yang berlaku kepada Dr Xavier,"
katanya selepas majlis perasmian Kedai Chatime di Desa Mentari Petaling Jaya,
semalam.
Bagi kes Dr Xavier, kata Fahmi, sikap Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak menjalankan tugas secara profesional amatlah
dikesalkan.
"Kita sedar, asalnya kes SPRM tidak berkait dengan dia
(Xavier) tetapi cara SPRM menulis kenyataan media memberi bayangan bahawa
walaupun SPRM bergerak (menyiasat) tetapi ada tekanan politik di keliling. Bagi
saya sukar untuk saya nafikan tempias politik daripada siasatan SPRM itu tidak
terkena kepada Dr Xavier.
"Jadi ramai netizen bertanya adakah beliau keluar kerana kes
tertentu? Dia sama seperti Larry Sng, Ahli Parlimen Julau dan Ahli Parlimen
Tebrau. Bagi mereka kes-kesnya mungkin melibatkan agensi lain. Itu mungkin
berlaku," katanya.
Bagaimanapun, menurut Fahmi, insiden 'melompat parti' itu
sedikitnya telah memberi pengajaran kepada KEADILAN agar mengutamakan
calon-calon yang setia dan tahan uji untuk bertanding dalam pilihan raya akan
datang.
"Yang kita perlu pelajari daripada episod ini ialah pemilihan
calon yang betul, yang taat kepada perjuangan parti dan tidak mudah tumbang
akibat ugutan atau umpan," katanya lagi.