SAYA SENGAJA MENUNGGU PENGESAHAN PENGKHIANATAN INI SEBELUM MENULIS... DAN MAAF, KALI INI SAYA AKAN MENGKRITIK PARTI SENDIRI (TENTUNYA SEBUAH LETERAN PANJANG)


Dalam Program Himpunan Muafakat Pemuda Keadilan Malaysia pada 31 Oktober 1999, saya yang entah siapa-siapa ketika itu, tidak dikenali orang pun, telah naik ke pentas berucap, setelah tiga kali panggilan untuk wakil Pahang naik ke pentas tidak bersahut, saya naik dengan izin Ketua Pemuda Bahagian (sekarang AMK Cabang) saya (beliau masih ada sekarang, tetapi agak uzur).


Saya ucapkan ketika itu, "Barangkali kerana orang seperti saya, Keadilan dikata tidak boleh diandalkan, tidak boleh disandarkan, kerana di dalamnya tiada tokoh-tokoh berwibawa, tiada orang-orang berpengalaman, tiada nama-nama besar... tetapi bagi saya, apa perlu nama besar! Kalau nama besar itu hanya pandai untuk membesarkan rumah mereka yang sudah sedia besar, kereta mereka yang sudah sedia besar, isteri mereka yang sudah sedia besar, perut mereka yang sudah sedia besar, atau kata Abang Hamdan Taha saya, membesarkan perut dan bawah-bawah perut mereka sahaja."


Apa maksudnya? Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya menjadi Parti Keadilan Rakyat terbina asalnya sebagai sebuah lokomotif perjuangan. Hakikat sebuah lokomotif perjuangan ialah, ia tidak akan melampau laju, ia akan melalui rel yang panjang dan akan memakan masa yang lamanya bukan kepalang. Hanya di tangan orang-orang biasa, pekerja-pekerja gasar, walaupun lama, lokomotif ini akan bergerak secara sempurna dan selamat, serta boleh sampai ke destinasi yang dituju. Masalahnya ada kalangan kita yang tidak sabar, mahu menukar lokomotif perjuangan menjadi lokomotif ekspres, mengangkut tokoh-tokoh entah dari mana dan diletaknya di gerabak depan, konon boleh melajukan perjalanan, mereka kaya, boleh menukar enjin lokomotif dan sebagainya, orang biasa dan pekerja gasar mula dipandang hina, mereka ada apa?


Tetapi lokomotif perjuangan tetap lokomotif perjuangan, ia tidak boleh diubah menjadi lokomotif ekspres secara paksa, akhirnya ia bergegar dan tidak stabil, gerabak pun jadi terumbang-ambing. Bila berlaku begitu, siapa yang terlebih dahulu melompat? Berhenti di tengah jalan atau menukar lokomotif? Ya, kita panggil orang seperti Steven Choong Shiau Yoon dan Larry Sng sebagai pengkhianat, mereka memang berkhianat, tetapi siapa yang menokohkan mereka? Siapa yang meletak mereka di gerabak depan? 


Mereka masuk dengan kepentingan. Tidak sempat mereka hafal 17 Perkara / 18 Perkara Tujuan dan Matlamat Perjuangan Parti, mereka melompat keluar. Dan nanti bila keluar kenyataan dari mereka, kononnya mereka hilang kepercayaan kepada perjuangan Parti. Orang di luar mengangguk-mengangguk, merekakan bekas pimpinan besar Parti, tentu ada meritnya, bagi pendengaran orang luarlah. Salahnya kita yang mula besarkan mereka, kita yang menokohkan mereka. Apakah mereka yang berkata hilang kepercayaan kepada perjuangan Parti ini tahu apa itu perjuangan Parti ini? Tahukah mereka 17 Perkara yang asal itu adalah perincian dari tiga tonggak penting perjuangan reformasi, iaitu kedaulatan rakyat, demokrasi rakyat dan ekonomi rakyat? Jangan hanya tertumpu kepada yang telah khianat, perhatikanlah pemimpin-pemimpin dalam Parti (terutamanya tokoh ekspres) yang kita besarkan selama ini, yang kita tokohkan selama ini. Apakah mereka khatam ideologi Parti? Apakah mereka faham perjuangan Parti? Apakah mereka mengerti sungguh-sungguh apa itu kedaulatan rakyat, apa itu demokrasi rakyat, apa itu ekonomi rakyat? Jika jawapannya tidak maka berhati-hatilah, kemungkinan untuk siri pengkhianatan lain berlaku akan tetap terus ada.


Yang memeningkan saya adalah kerana ini bukan perkara baharu dalam Parti ini, ia telah berlaku lama dan berulang-ulang, peliknya kita tidak serik-serik. Seperti saya kata, tokoh-tokoh ini mencari kepentingan keselesaan, mereka terus masuk di gerabak pertama dan duduk di sekeliling Anwar Ibrahim. Mereka menawarkan macam-macam, kononnya untuk mengekspreskan lokomotif, bila gagal mendapat keselesaan yang mereka mahu, mereka lompat keluar. Setiap kali muncul tokoh baharu di sisi Anwar Ibrahim, tokoh itulah juga akhirnya yang berkhianat, berlaku berkali-kali, apakah kita bodoh, tidak pernah belajar, atau terlalu teruja dengan tokoh? Padahal mereka buta perjuangan. Cukup-cukuplah itu, orang biasa dan pekerja gasar itu lebih terpercaya, dan dari kalangan mereka juga boleh lahir pemimpin hebat. Lagipun, setiap kali berlaku kerosakan lokomotif perjuangan akibat dari pengkhianatan berulang ini, setiap kali itulah, jasa si orang biasa dan pekerja gasar ini ditagih untuk membaikpulihnya.


Ini kecenderungan yang sudah membarah lama dalam Parti, pasal menaikkan tokoh yang entah dari mana dan kemudiannya dikhianati oleh tokoh itu sendiri, saya telah menulis dan memperingatkannya berkali-kali, antaranya:


1. Sayonara - Julai 2007 (sudah tiada akses capaian kepada tulisan ini dalam arkib internet)


2. Warkah Buat Saudara Anwar - 2 Mac 2010 (http://anakkampungdelek.blogspot.com/2010/03/warkah-buat-saudara-anwar.html?m=1)


3. Anwar, Ini Bukan Teguran Saya, Ini Teguran Tuhan (http://zukriaksah.co.cc/news/tanpaeditanwarinibukanteguransayainitegurantuhan)


Kesemua tulisan ini berkisar soal yang sama, soal lingkaran "tokoh" yang seringkali diangkat secara tiba-tiba mengelilingi Anwar Ibrahim, kemudiannya mereka ini jugalah yang khianat. Sampai satu tahap saya mesti berada di luar sempadan Parti untuk menyampaikan kritik-kritik ini kerana ia terlalu tajam dan pedas, saya masih tahu adab dan disiplin berorganisasi. Sampai hari ini saya tidak pernah menyesal dengan apa yang saya tulis dan tidak pernah berniat untuk menariknya balik. Bahkan dalam satu kesempatan ke Parlimen (bukan atas tujuan politik) bersama seorang kawan, kawan saya itu kepingin sangat mahu bertemu dengan Nurul Izzah Anwar, jadi saya sempurnakan hajatnya selepas selesai urusan kami. Saya kira peristiwa ini selepas 2007 tetapi sebelum 2010. Belum sempat bertanya khabar, bahkan Nurul tidak bertanya pun apa urusan saya di Parlimen, terus sahaja dia meleteri saya, "Zukri, apa yang saudara tulis tentang Papa sangat memberi kesan, yang dalam kepada keluarga kami." Sungguh, saya tidak pernah meminta maaf.


Sebab apa? Sebab apa yang saya tulis itu betul, dan ia terus berlaku sampai hari ini, seperti berita yang kita baca itulah! Saya kira sudah sampai masanya Parti memperkasakan apa yang sedia ada, orang biasa dan pekerja gasar Parti, yang belum tentu dungu dan bebal, apapun mereka sudah membuktikan mereka adalah penjaga lokomotif perjuangan yang setia. Sampai masanya juga, perlembagaan Parti mesti menetapkan bahawa untuk seseorang anggota menikmati semua faedah dan kelebihan sebagai seorang anggota, dia mestilah menghabiskan satu tahap, melengkapkan satu silibus yang bersifat ideologikal, dengan ujian pemahaman, tanpa kekecualian walau seorang pun.


Pentingnya kerana sifat Parti kita sendiri. Satu ketika kita pernah berbangga bahawa kita berjaya menyatukan kepelbagaian. Ia memang kejayaan, tetapi kalau sampai sekarang pun ia kekal begitu, yang ABIM di dalam Parti kekal membawa ideologi ABIMnya, yang JIM di dalam Parti kekal membawa ideologi JIMnya, yang kanan kekal dengan ideologi kanannya, yang kiri kekal dengan ideologi kirinya, lalu apa yang kita harapkan bila seorang oportunis masuk ke Parti kita? Kalau yang lain tidak berubah, tentunya si oportunis ini juga tidak akan berubah, dan kalau sudah hilang atau tiada peluang di depan mata, si oportunis tentulah akan melompat ke ruang lain yang mampu menawar laba. Mereka berkhianat dan menipu kita, itu betul, tetapi kalau berkali-kali kita ditipu dengan modus operandi yang sama, di tahap mana sebenarnya kita ini?


Kita mesti memahami apa itu kedaulatan rakyat, apa itu demokrasi rakyat dan apa itu ekonomi rakyat, kerana ketidakfahaman pada sebahagian pemimpin (tokoh?) kita yang bergelar YB itu jelas. Ketidakfahaman ini bahaya, ia boleh merangsang keterujaan lain yang akhirnya boleh berakhir dengan pengkhianatan. Kita ambil contoh vaksin Covid-19 sudah memadai. Sepatutnya, cukuplah seorang-dua pemimpin teratas negara menjadi pemimpin politik yang menjadi penerima terawal vaksin, sekadar sebagai perasmi dan pembuktian kepada rakyat bahawa vaksin itu selamat, kemudian selain barisan hadapan, utamakanlah rakyat, mereka setiap hari bertungkus-lumus keluar bekerja demi menanggung keluarga, walaupun risikonya besar. Sekurang-kurangnya dengan vaksin, mereka merasa lebih selamat dan tenang untuk keluar, keluarga mereka juga kurang sedikit kebimbangan melepaskan mereka keluar. Ini tidak, berderet-deret para YB dengan bangganya menyiarkan acara suntikan vaksin terawal untuk mereka di laman-laman sosial, malangnya ia termasuk juga YB-YB dari Pakatan Harapan, khususnya Keadilan. Untuk apa dibanggakan? Sepatutnya rakyat yang kita dahulukan, keselamatan rakyat yang kita utamakan. Ini tidak, sepertinya kita sedang tunjukkan bahawa biar kita selamat dahulu, rakyat kemudian. Ini yang saya kata tidak faham perjuangan, "tokoh" salah yang duduk di gerabak depan yang dibawa oleh lokomotif perjuangan.


Zukri Aksah 

Ketua Komunikasi Nasional

Gerakan Reformasi 98 - GERAK 98 


#AkuKeadilan #kamikeadilan #neoreformia #LawanTetapLawan #keadilan21tahun #DSAI4PM #reformasi98 #GERAKANREFORMASI98 #GERAK98 

Dr Wan Azizah Wan Ismail Mohamad Ezam Nor Gerakan Reformasi Nasional