Vaksin RNA Covid 19: Beri ruang kepada individu yang mahukan teknologi lama

 


POSTED BY AMIR WRLR


Kontroversi vaksin Covid 19 dari Pfizer-BioNTech yang menggunakan teknologi baharu RNA menimbulkan keraguan kepada sesetengah pihak yang khuatir terdapat kesan sampingan di kemudian hari perlu ditangani dengan bijaksana.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail, vaksin yang diperolehi Malaysia sama ada menggunakan teknologi baharu atau konvensional diakui berkesan dan populasi yang mengambil vaksin berkenaan tidak menunjukkan gejala negatif.

"Vaksin yang kita pilih peringkat awal ini dari syarikat Pfizer-BioNTech. Ini adakah vaksin yang menggunakan teknologi baru. Banyak vaksin lain menggunakan teknologi konvensional, vaksin itu menawarkan virus yang telah dilemahkan kepada badan kita dan badan dan sistem antibodi kita kaji virus yang lemah itu untuk bina antibodi lawan virus.

"Tetapi vaksin baharu ini, yang diberi itu bukan virus tetapi kod mRNA. Kod itu dia buat memory dan sel (antibodi) untuk lawan virus. Ini menimbulkan kontroversi kerana pertama kali digunakan. Namun keputusan populasi yang telah menerima vaksin ini di Israel, United Kingdom misalnya adalah berkesan.

"Bukan sahaja mengurangkan jangkitan Covid tetapi mengurangkan kes-kes Covid yang berat. Yang dibimbangkan sebahagian orang ialah kesan sampingan lama.

"Pertama, berapa lama antibodi ini akan bertahan. Kedua, adakah kesan sampingan lain yang dibangkitkan ada kemungkinan boleh berlaku peningkatan kes-kes penyakit kronik seprti SLE, sirosis dan semua itu," katanya dalam forum "Vaksin Covid- 19, Apa Perlu Anda Tahu Tentang Vaksin?" anjuran Media KEADILAN Kedah.

Bagaimanapun, menurut Dr Azman, oleh kerana pengambilan vaksin dilakukan dengan cara pendaftaran sukarela maka terdapat ruang bagi pihak yang ragu-ragu, ditawarkan vaksin menggunakan teknologi lama.

Katanya, kerajaan bukan sahaja membeli vaksin dari Pfizer tetapi juga pelbagai syarikat lain yang membolehkan rakyat diberi pilihan.

"Begitu pun saya rasa kita bersangka baik.

"Orang yang was-was wajar kita beri vaksin yang bukan berasaskan mRNA atau vaksin konvensional seperti jenama Sinovac

"Beri ruang kepada orang yang mahukan vaksin teknologi lama," katanya lagi.