Pingat dan Penghinaan Terhadap Intelek Rakyat


 

Oleh : Dr Nazmi Airil Osidea

 

1. Seramai  14 menteri dan timbalan menteri menerima darjah kebesaran sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

 

2. Belum pun panas kerusi menteri dan timbalan menteri mereka duduki, gelaran 'Datuk' dengan mudahnya singgah ke dada mereka.

 

3. Tidak sukar mendapat 'Datuk' semasa zaman Muhyiddin. Isilah borang anugerah pingat dan masukkan sajalah di bahagian 'sumbangan' sebagai menteri atau timbalan menteri. Tidak masuk perkiraan yang mereka semua menjadi menteri tidak pun sampai setahun jagung. Oh jangan lupa, sudahlah tidak sampai setahun jagung, tiada kerja pun - dengan adanya perintah kawalan pergerakan dan darurat hingga ke bulan Ogos, mereka boleh duduk goyang kaki dan setiap bulan puluhan gaji masuk hinggalah ke pencen. Tidak masuk perkiraan yang jawatan mereka adalah rasuah politik dari 'scheme of things' Muhyiddin.

 

4. Rakyat berhak untuk rasa intelek mereka terhina. Dengan Perdana Menteri yang kerjanya rata-rata dikhabarkan tidak sampai 4 jam sehari, tiada sidang akhbar, tidak perlu mempengerusikan jawatankuasa kerja yang berat dan yang perlu hanya merasuahkan jawatan atau gelaran untuk kekal berkuasa. Tidak ada berkatnya semua ini.

 

5. Rakyat rasa semua kesusahan dan kepayahan mereka sepanjang pandemik ini dihina dan diperkecilkan apabila mereka yang goyang kaki dan makan gaji buta mendapat puluhan ribu gaji dan kini gelaran Datuk diselerakkan untuk mereka. Bagaimana rakyat akan hormat kepada mereka? Kepada Menteri? Kepada Timbalan Menteri? Kepada Muhyiddin?

 

6. Ditambah lagi garam ke luka rakyat apabila seseorang yang berkelakuan gangster dan dengan mudah menyerang orang secara fizikal juga dapat pingat? Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo menerima Darjah Kebesaran Pangkat Keempat Johan Mahkota Wilayah (JMW). Bukankah itu satu jenaka dan satu tamparan yang menjatuhkan maruah Tuanku Agong? Malah seseorang seperti Ustaz Ebit Liew telah melakukan jauh lebih banyak budi dan secara konsisten untuk masyarakat.

 

7. Rakyat sudah hilang hormat dan segala baki keyakinan terhadap kerajaan sudah hilang dengan tindakan yang tidak berakal sebegini. Mereka kini berharap Agong dan Sultan bijak menilai kerana jika mereka yang goyang kaki, makan gaji buta malah gangster diberi pingat, tentu ia menjadi satu tragedi kepada institusi Di-Raja. Semoga Majlis Raja-Raja memiliki hikmah untuk memahami apa yang ada dalam hati rakyat dan bukannya apa yang disogok atau disua oleh pemimpin politik yang korupnya tidak terbendung lagi.

 

8. Apakah ertinya gelaran jika mereka yang menerimanya tidak berhak dan hasilnya hanyalah 'Datuk' yang hanya wujud secara hiasan tetapi kosong isinya?