Rakyat mahu tingkat ujian Covid, kerajaan sibuk naikkan denda
Wabak Covid 19 yang mendadak menular dalam kalangan penduduk Malaysia perlu ditangani dengan meningkatkan ujian bagi mengenalpasti individu yang tertulari dan kontak rapat mereka.
Menurut Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selagi ujian berskala besar tidak dilakukan maka usaha membanteras Covid agak sukar untuk berjaya.
“Saya tegaskan apa yang saya gesa sejak lebih setahun lalu, iaitu pertamanya pastikan ujian lebih meluas. Ujian (waktu ini) bertambah tetapi sangat terbatas.
“Untuk kluster yang menyebabkan menularnya penyakit ini dengan meluas seperti kilang atau di tempat sesak harus diberikan tumpuan lebih.
“Kedua, strategi tentang vaksin. Seperti mana kita tahu negeri-negeri jiran telah pun berjaya mendapatkan vaksin. Cuba tanya mengapa jiran kita Indonesia dan Singapura jauh lebih berjaya dan telah pun memulakan suntikan vaksin kepada rakyat.
“Kita pula masih di belakang. Sepatutnya bukan umum 27 Februari vaksin sampai tetapi untuk siapa, berapa jumlahnya, berapa kosnya,” kata Anwar dalam siaran langsung di Facebook rasmi beliau pagi tadi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menegur mengenai kontrak dan tender yang diberikan kepada golongan tertentu untuk mengimport vaksin dengan memakai payung darurat. Hal itu katanya, membimbangkan kerana terkait isu tatakelola yang baik.
Menurut Anwar lagi, isu Covid tidak boleh lari daripada soal pengurusan. Katanya, tatakelola penting dalam urusan pembelian ubat, membayar barisan hadapan dan keutamaan peruntukan. Adakah peruntukan untuk jabatan politik yang mencecah ratus juta diutamakan atau membina dewan dalam keadaan orang kelaparan, katil hospital tidak mencukupi dan ada individu yang positif Covid diminta tunggu dulu di rumah, tanyanya.
Mengenai keghairahan kerajaan Perikatan Nasional menaikkan denda individu yang melanggar SOP daripada RM1,000 kepada RM10,000, Anwar membidas cadangan itu.
Ujarnya, menaikkan denda tanpa kempen kesedaran dan penguatkuasaan yang teratur tidak akan berjaya mengurangkan jangkitan.
“Jangan hanya nak naikkan denda. Denda ini saya bimbang yang kena orang bawah, petani, nelayan.
“Sebab itu saya tidak fikir keutamaan menaikkan denda, tetapi penguatkuasaan kena jelas. Namun kalau ada menteri hadir majlis tak pakai pelitup muka. Orang kata darjat atas boleh, darjat bawah tak boleh,” katanya sinis.
Selain itu, Anwar juga mempersoalkan SOP yang sering berubah-ubah setiap minggu.
Sepatutnya, kata beliau SOP perlu jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan bagi memudahkan penguatkuasaan dan pematuhan paerturan dalam kalangan rakyat.