Retorik Melayu – Islam backfire kepada PN

 

Saya akan turun ke Port Dickson - Abdullah Sani


Pandemik Covid 19 yang digunakan Perikatan Nasional (PN) sebagai alasan merampas kuasa daripada Kerajaan Pakatan Harapan kini hanya menyerlahkan kebobrokan perjuangan PN itu sendiri.

Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, populariti Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin yang meningkat pada Mac tahun lalu menunggang retorik kerajaan membela orang Melayu-Islam dan mahu menangani Covid secara lebih berkesan, pada 2021 telah terbukti gagal sama sekali.

Katanya, bukan sahaja Covid merebak pantas kesan cubaan rampasan kuasa di Sabah malah rakyat hanya melihat siri perompakan dan pengagihan kekayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sesama pemimpin PN sepanjang 10 bulan mereka memerintah.

“Berlakunya Covid dan rampasan kuasa secara tersusun yang dilakukan pengkhianat-pengkhianat pada Mac tahun lalu sebenarnya telah pun membongkar, bahawa bila menyebut tentang isu Melayu ianya hanya satu retorik PN. Mereka gunakan perkauman untuk meraih sokongan dan memfitnah.

“Dari bulan Mac sampai sekarang apa yang dikatakan Melayu-Islam itu, yang dikategorikan sebagai dasar perjuangan mereka, sebenarnya terbabas jauh dan tidak langsung membuktikan mereka ini adalah pemimin yang mewakili kelompok Melayu-Islam yang memerintah negara

“Apa yang saya lihat ialah pemunggahan dana rakyat, pengambilan syarikat-syarikat (GLC) yang tidak langsung mencerminkan PN ini mempertahankan hak Melayu-Islam itu sendiri,” katanya.

Menurut Abdullah Sani lagi, menjelang ulang tahun pertama kerajaan pengkhianat PN, rakyat semakin sedar bahawa mereka hanya mempergunakan slogan Melayu-Islam sebagai topeng.

Katanya, kesadaran itu sekiranya meluas akan menyebabkan PN menerima tempelakan daripada retorik mereka sendiri sejak 2018 lalu.

“Saya melihat bahawa keadaan sebelum Covid dan semasa Covid ini merumuskan bahawa segala slogan dan retorik PN itu backfire kepada mereka sendiri.

“Ini yang berlaku apabila PN mengimplimentasikan dasar yang (pentingkan diri dan) tidak memungkinkan negara dapat diselamatkan,” katanya lagi.

Sejak hujung tahun lalu pendapat umum semakin tidak menyebelahi kerajaan PN kerana rakyat tidak melihat Melayu lebih terbela di bawah pentadbiran PM Muhyiddin Yassin. Begitu juga Islam semakin terabai di bawah pemerintahan Pas dengan skandal kartel daging, lebih banyak cabutan judi bulanan, pertandingan ratu cantik diteruskan dan sebagainya.