AKHMAL NASIR
Pengisytiharan Darurat yang diumumkan oleh Perdana menteri hari
ini telah membuktikan bahawa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah
gagal dalam menguruskan negara mendepani cabaran Covid-19.
Segala-galanya bermula dari langkah rampasan kuasa yang
dilakukan oleh PN sehingga mencetuskan PRN Sabah. Malah, tidak ada permohonan
maaf yang dilakukan oleh kerajaan PN sehinggakan seluruh rakyat Malaysia
terkesan disebabkan kerakusan orang politik.
Sepanjang 10 bulan pentadbiran, negara pada ketika ini berada
pada situasi yang sangat membimbangkan. Prestasi kerajaan PN yang disertai BN
sebagai salah satu komponennya kelihatan lebih buruk berbanding kerajaan yang
dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH).
Ternyata, pentadbiran yang menggambarkan kerajaan 90% Melayu
Islam tidak berupaya memerintah negara dengan baik meskipun mempunyai jumlah
menteri dan timbalan menteri yang paling banyak dalam sejarah pentadbiran
negara (31 menteri, 38 timbalan menteri).
Kerajaan persekutuan seolah-olah tidak mempunyai hala tuju yang
jelas ke mana Malaysia ini ingin dibawa. Agenda ekonomi negara pula pincang.
Urus tadbir negara yang tidak telus ditambah pula dengan kemelut politik yang
semakin meruncing antara PN-BN. Kesemua ini telah menyebabkan satu demi satu
pelabur mula meninggalkan negara beralih ke pasaran Indonesia. Apakah ini suatu
petanda yang positif bagi ekonomi negara.
Jalan keluar terbaik yang perlu dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin
ialah meletak jawatan bagi membolehkan hanya mereka yang benar-bernar
berkebolehan memimpin negara di landasan yang sebenar. Ekonomi perlu dipacu dan
kepimpinan negara harus dipulihkan dengan kadar segera.