PN KERAJAAN YANG GAGAL, MEMANG WAJAR DIJATUHKAN



Wajarkah Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN dijatuhkan pada waktu ini?


Barangkali ini merupakan persoalan yang banyak berlegar di fikiran kita di mana di ketika Covid19 melanda semula, gerakan mahu menjatuhkan kerajaan pun dilihat sama aktifnya.


Dengan Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini mengumumkan menolak kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang sah dan semalam pula, Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakob menarik sokongannya, realitinya Perdana Menteri sudah pun hilang majoriti.


Ditolak dua Ahli Parlimen yang telah meninggal dunia dan menunggu sehingga PRK yang diisytihar darurat diadakan di Batu Sapi dan Grik, perkembangan terbaru ini menunjukkan Muhyiddin hanya mempunyai 110 sokongan daripada 220 Ahli Parlimen keseluruhannya.


110 daripada 220 bererti tiada lagi majoriti, lebih tepatnya kedudukan yang seri atau tergantung.


Walaupun ada yang mendakwa Muhyiddin masih ada majoriti melalui 110 sokongan itu kerana blok pembangkang berpecah, tetapi mereka tidak sependapat hanya dalam soal untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri saja.


Sebaliknya, dalam soal menolak dan ingin menjatuhkan Muhyiddin, blok pembangkang adalah sepakat.


Begitu pun, selain Ku Li dan Ahmad Jazlan sah tidak lagi menyokong Muhyiddin, ketidaklayakan beliau duduk sebagai Perdana Menteri akan lebih mudah difahami jika ada dua atau tiga lagi Ahli Parlimen BN berbuat demikian dalam waktu terdekat ini.


Jika mereka ingin berbuat demikian, sebaiknya ia mesti dilakukan pada hari ini atau esok iaitu sebelum Muhyiddin menyampaikan perutusan khas pada petang atau malam Isnin untuk mengumumkan langkah-langkah terbaru kerajaan mengawal penularan Covid19.


Ada khabar mengatakan PKP di beberapa negeri atau larangan rentas daerah serta negeri akan dikuatkuasakan semula dalam pengumuman Perdana Menteri esok nanti.


Beserta jangkaan Kementerian Kesihatan bahawa kes Covid19 boleh menjangkau sehingga 8,000 kes sehari menjelang Mei, jika PKP atau larangan rentas negeri dilaksanakan, bermakna Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual pada 31 Januari untuk mengesahkan usul putus hubungan UMNO dengan Bersatu dan seterusnya keluar daripada kerajaan PN, dengan sendirinya tidak dapat lagi dilakukan.


Jika Perhimpunan Agung tertangguh, bererti juga kekallah lagi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.


Kekal lagi beliau sebagai Perdana Menteri, terus terancamlah masa depan UMNO dengan pembulian barangkali tambah dipertingkatkan lagi.


Tidak mustahil selepas itu UMNO tidak mampu lagi menyelamatkan dirinya daripada terus dimangsa dan ditelan oleh Bersatu.


Maka itu, tindakan menjatuhkan Muhyiddin dan kerajaan PN mesti dilaksanakan dengan secepat mungkin demi masa depan UMNO itu sendiri.


Selepas Isnin nanti, segala-galanya sudah terlambat.


UMNO jangan rasa bersalah untuk menjatuhkan Muhyiddin dan kerajaan di tengah-tengah Covid19 sedang melanda ini kerana Muhyiddin sendiri menjadi Perdana Menteri melalui Langkah Sheraton ketika Covid19 ketika itu belum lagi reda.


Sebaik saja beliau menjadi Perdana Menteri, kes Covid terus meningkat sehingga PKP dilaksanakan di seluruh negara.


Lebih daripada itu, ketika Musa Aman menggerakkan usaha merampas Sabah susulan kes mahkamahnya digugurkan secara tiba-tiba sehingga akhirnya memaksa PRN diadakan, ia juga digerakkan ketika Covid19 masih melanda.


Jadi, jika Muhyiddin sendiri menggerakkan pengkhianatan untuk menjadi Perdana Menteri ketika Covid19 dan kemudian melorong serta merestui tindakan Musa Aman mahu menjatuhkan Shafie Apdal juga ketika Covid19, apa masalahnya beliau pula dijatuhkan ketika wabak yang sama masih melanda?


Bukankah pepatah ada menyebut – “what goes around comes around.”


Lagi pula, selain UMNO tidak harus berlengah lagi untuk menjatuhkan Muhyiddin demi survival parti itu, kerajaan PN yang dipimpinnya ini juga dikira gagal teruk dalam mengurus dan mentadbir negara.


Bukan saja tiada kemajuan dilaksanakan sepanjang 10 bulan yang lalu, bahkan pelabur besar seperti Hyundai, Tesla, LG, Toyota, pembuat bateri CATL, Amazon dan beberapa yang lain telah mengambil keputusan memindahkan pelaburan mereka ke Indonesia.


Apakah kita mahu melihat lebih banyak pelabur sedia ada meninggalkan Malaysia?


Kenapa Indonesia lebih diyakini berbanding Malaysia?


Sementara diakui Muhyiddin dan anggota pentadbiran kerajaan PN dilihat gagal kerana tidak mampu menambahbaik keadaan negara, adalah diyakini masa depan Malaysia akan terus memburuk jika mereka tidak segera dijatuhkan.


Dalam keadaan Muhyiddin yang tidak mampu dan kesihatannya pula tidak berapa baik, mengganti kerajaan dan Perdana Menteri adalah suatu kewajipan untuk mengelakkan negara dan rakyat terus terperosok tanpa haluan.


Selain UMNO ada asas kewajarannya sendiri menarik sokongan untuk menjatuhkan Muhyiddin, rakyat juga seharusnya menyambut baik perkara itu.


Kerajaan yang gagal tidak boleh dibiarkan kekal dengan kegagalannya, bimbang nanti lebih ramai yang mati kerana tak cukup makan dan tiada pekerjaan daripada disebabkan Covid19. (Shahbudindotcom 10/01/2021)