*SURAT TERBUKA KEPADA YANG DI-PERTUAN AGONG*

 *SURAT TERBUKA KEPADA YANG DI-PERTUAN AGONG*

*_PATIK MOHON DAN RAYU DATO' SERI ANWAR IBRAHIM DIBERI PELUANG MEMIMPIN MALAYSIA BAHARU_*
*09 Januari 2020*
Salam Sejahtera,
_Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong_
Ampun Tuanku,
1) Dengan segala hormat, patik berdoa agar Tuanku Seri Paduka Baginda sentiasa berada dalam bimbingan dan perlindungan dari Tuhan.
2) Patik dengan penuh takzim menerusi warkah ini ingin memohon dan merafakkan sembah agar Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai sokongan kukuh dan menyakinkan dari kalangan majoriti Ahli Parlimen diberi peluang untuk membentuk kerajaan baharu.
3) Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun, Tuanku merupakan payung kepada negara Malaysia dan patik yakin Tuanku amat adil dalam membuat sesuatu keputusan.
4) Seperti yang diketahui umum, hari ini, Ahli Parlimen Machang iaitu YB Datuk Ahmad Jazlan Yaakub telah menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
5) Sesebuah kerajaan yang tidak memiliki majoriti sokongan Ahli Parlimen wajar diganti dengan kerajaan yang mempunyai sokongan menyakinkan atau kembalikan semula mandat kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Patik yakin buat masa ini tidak sesuai PRU diadakan.
6) Patik juga hilang keyakinan terhadap kemampuan kerajaan ini yang mempunyai lebih dari 70 Menteri dan Timbalan Menteri untuk menangani pandemik Covid-19 yang setakat ini sudah mencecah jumlah keseluruhan 133,559 kes dengan jumlah kematian 542. Angka-angka ini merisaukan rakyat Malaysia.
7) Dalam keadaaan ekonomi baru mula untuk pulih, rakyat Malaysia terutamanya golongan anak muda dalam segmen ekonomi Gig dan peniaga-peniaga kecil sudah mula merungut mengenai desas desus berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mungkin akan dilaksanakan kelak.
8) Dikala krisis ekonomi akibat Pandemik Covid-19, negara memerlukan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan mampu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi secara berperingkat. Kewibawaan ini dimiliki oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Pakatan Harapan.
9) Berlandaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan;
_"Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong"._
Demi kesejahteraan rakyat dan proses demokrasi berparlimen, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia bagi memberi laluan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.
10) Akhir kata, Patik berharap Tuanku Baginda akan menggunakan segala kebijaksanaan untuk mengambil keputusan
terbaik
demi rakyat Malaysia dan negara tercinta. Patik pohon ampun atas apa jua kekhilafan dalam warkah ini. Semoga rakyat dan negara Malaysia akan selamat daripada pandemik Covid-19 dan bencana banjir.
*Daulat Tuanku.*
_Patik dengan segala hormat takzimnya;_
*PRASANTH KUMAR BRAKASAM*
*_RAKYAT MALAYSIA_*
*_KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) NEGERI MELAKA_*

No comments: