Perlekeh darurat: Bukit Aman sahkan panggil Azwan Ali untuk bantu siasatan

 

Perlekeh darurat:

Fareez Azman
Januari 21, 2021 
Perlekeh darurat: Bukit Aman sahkan panggil Azwan Ali untuk bantu siasatan
Pada 21 Januari Azwan telah dipanggil ke Pejabat USJT, Bukit Aman bagi membantu siasatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan telah memanggil selebriti Azwan Ali pada Khamis untuk membantu siasatan berhubung penularan sebuah klip video baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata siasatan dijalankan terhadap selebriti itu kerana dipercayai memperlekehkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong.
"PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengesahkan menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan terhadap klip video Azwan Ali kerana didapati telah memperlekehkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong.
"Rakaman video berdurasi 41 saat tersebut telah ditularkan oleh pemilik akaun Facebook Zai Mikail pada 12 Januari 2021," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Tambah Huzir, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Pada 21 Januari 2021, Azwan Ali (DIVA AA) telah dipanggil ke Pejabat USJT, Bukit Aman bagi membantu siasatan.
"Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang telah memuat naik dan menularkan klip video tersebut," katanya lagi.
PDRM mengesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menganggu gugat keharmonian negara.
Tegas Huzir, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.