UMNO BERKERAS MAHU DOMINAN, MASIHKAH ADA MASA DEPAN BUAT BERSATU?


 Sebagaimana yang dijangka, sokongan UMNO ternadap Belanjawan 2021 tidak sama sekali bermakna parti itu mahu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin lebih lama duduk di kerusinya.

UMNO kini kembali kepada keinginan untuk menjadi parti Melayu paling dominan yang menguasai kerajaan seperti sebelum ini.

Yang menariknya juga, keinginan untuk menjadi dominan itu hanya beberapa hari selepas Muhyiddin sendiri mengajak UMNO dan Bersatu agar saling bekerjasama untuk menghadapi PRU15 akan datang.

Kata Muhyiddin, alangkah baiknya jika UMNO dan Bersatu dapat saling bersatu hati demi perjuangan Melayu Islam di negara ini.

Seruan Muhyiddin itu bagaimanapun ternampak hanya dipandang sepi oleh UMNO dengan tiada seorang pun pemimpinnya memberi reaksi positif terhadap seruan tersebut.

Hakikatnya tidak lain ialah UMNO sedar, jika mereka terus bekerjasama dengan Bersatu, bukan saja UMNO terpaksa terus memberi laluan kepada Muhyiddin untuk kekal lagi sebagai Perdana Menteri, bahkan dominannya dalam kerajaan juga akan berkubur sama.

Lebih menakutkan lagi, UMNO juga bimbang kalau-kalau selepas Bersatu terus diberi kuasa sepenggal lagi, UMNO pun mungkin hanya tinggal nama saja lagi selepas itu.

Sebelum ini, ketika era PH berkuasa, Anwar Ibrahim pernah mendedahkan bahawa fail untuk mengharamkan UMNO sudah ada di Kementerian Dalam Negeri, antaranya kerana terkait isu menerima dana daripada 1MDB.

Begitu pun, Anwar telah memberi pandangan kepada Muhyiddin, Menteri Dalam Negeri ketika itu agar jangan sesekali sampai bertindak mengharamkan UMNO kerana jasa dan sumbangan parti itu kepada negara tidak harus dipadamkan dengan cara begitu.

Cuma sekarang Muhyiddin sudah menjadi Perdana Menteri dan beliau sendiri sedang bergelut untuk survivalnya politiknya sendiri dengan UMNO.

Mungkinkah pertimbangannya akan berubah?

Di waktu yang sama, Menteri Dalam Negeri sekarang adalah Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Bersatu yang juga bergelut dengan survivalnya masa depannya dengan UMNO yang mahu merampas balik kerusi Parlimen Larut yang diwakilinya kini.

Sebagai Menteri Dalam Menteri, sudah pasti fail UMNO yang dulu ada di atas meja Muhyiddin, kini sudah berpindah ke meja Hamzah.

Atas kepentingan bersama antara Muhyiddin dan Hamzah, apakah tidak mungkin nasib buruk menimpa UMNO?

Bagi Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO, beliau tidak berselindung lagi tentang hasrat UMNO untuk kembali mengusai kerajaan selepas ini.

Beliau berkata, sebagai parti politik Melayu tertua dan terbesar, UMNO tidak akan memadamkan “mandat dan tugasnya” sebagai parti nasionalis dan teras kepada politik Melayu Islam.

“Misi UMNO adalah untuk menguasai semula kerajaan melalui BN dengan kerjasama PAS dan tiada siapa dapat dan patut menghalangnya,” ujar beliau lagi.

Tanpa menjelaskan kelebihan tersendiri PAS yang dimaksudkan, Khaled juga membayangkan kedua-dua parti tidak memerlukan Bersatu untuk membentuk kerajaan yang kuat.

“Sebenarnya, UMNO dan PAS adalah kekuatan yang mencukupi. Yang selebihnya, akan menyebabkan the space is a little bit too crowded (ruang menjadi terlalu sesak),” tambahnya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pula berkata, dalam PRU akan datang, parti itu mesti menjadi entiti yang dominan dan isu berkenaan tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa.

Kata beliau, ia adalah hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak, meskipun Bersatu boleh berbangga melahirkan dua Perdana Menteri dalam tempoh yang singkat.

“Bagi UMNO jelas, apa pun formula akhir menjelang PRU ke-15, UMNO mesti dominan.

“Jika tidak terima hakikat itu, game over (tamat) dan no deal (tiada persefahaman),” tegasnya.

Dengan ketegasan ini, masihkah ada masa depan bagi Bersatu? 

(Shahbudindotcom 01/12/2020)