Kenyataan MP PAS boleh beri kesan buruk kepada negara

 

Oleh Teo Nie Ching

(Setiausaha Antarabangsa DAP)

DAP dengan tegas mengecam kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh dari blok kerajaan, Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS), yang mendesak kerajaan mengisytiharkan Amerika Syarikat (AS) sebagai negara pengganas. Walaupun kita mengutuk tindakan kekerasan, kita harus kekal objektif dan bijaksana. Kita harus mempertimbangkan dengan serius kesan-kesan daripada ledakan-ledakan emosi (emotional outbursts) ini di dalam dinding Parlimen.

AS dan Malaysia bersama sebagai anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), di samping beberapa perjanjian perdagangan yang saling menguntungkan kedua-dua negara. Menggelar AS negara pengganas, walaupun dengan tanpa asas dan dilakukan secara tidak rasional, boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki terhadap ekonomi kita, pada saat kita sedang menghadapi krisis pandemik dan ekonomi global.

Dengan melabelkan AS sebagai negara pengganas, adakah Pasir Puteh mencadangkan untuk memutuskan hubungan diplomatik kedua-dua negara? Adakah beliau memahami apa kesannya tidak hanya kepada ekonomi kita tetapi juga ribuan rakyat Malaysia yang tinggal atau mempunyai ahli keluarga di AS?

Pasir Puteh perlu sedar bahawa kata-katanya, sebagai Ahli Parlimen dan sebagai Ketua Dewan Ulama PAS, boleh memberi kesan buruk kepada negara. Pada masa genting seperti ini, mungkin adalah lebih baik untuk memikirkan tentang rakyat Malaysia yang telah kehilangan mata pencarian sebelum meletakkan kestabilan ekonomi kita dalam risiko.

Pada masa sama, kami mendesak Kementerian Luar untuk menegur Ahli Parlimen PAS ini dan menolak pandangan dasar luarnya yang menyimpang terhadap rakan dagang kedua terbesar kita. — Roketkini.com