Dulu Pas haram ucap Hari Krismas, kini boleh sudah jadi menteri
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tampil mengucapkan Selamat Hari Natal berbeza dengan pendirian Pas sebelum ini.
Poster ucap selamat perayaan penganut Kristian itu dengan wajah pemimpin Pas tersebut dimuat naik menerusi Facebook rasmi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).
Turut dimuatnaik poster dua timbalan menteri dan ketua setiausaha kementerian itu yang ketiga-tiganya bukan beragama Islam.
Khairuddin yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Pas juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Pas dalam hantaran pada tahun 2013 menyatakan pendirian haram hukumnya mengucapkan Selamat Hari Natal.
Kenyataan ketika Pas masih parti pembangkang itu menyatakan mungkin ada penganut yang mengucapkan Hari Krismas kerana belum mengetahui hukumnya.
Pendirian itu dinyatakan menerusi petikan dialog dua watak antara penganut Muslim dan Kristian diberi nama David seperti berikut:
“Christian: Kenapa kau tidak mengucapkan Selamat Hari Krismas padaku?
Muslim: Agama kami menghargai toleransi antara agama, termasuk agamamu tapi masalah ini, agama saya melarangnya.
Christian: Tapi kenapa, bukankah hanya sekadar kata-kata? Teman muslimku yang lain, mengucapkannya kepada aku?
Muslim: Mungkin mereka belum mengetahuinya. David, kau boleh mengucapkan dua kalimah syahadah, dalam bahasa Melayu pun tak mengapa?
Christian: Oh tidak, saya tidak boleh mengucapkannya. Itu akan mengganggu kepercayaan saya selama ini.
Muslim: Kenapa? Bukankah hanya kata-kata? Ayuh, ucapkanlah…
Christian: Sekarang, saya mengerti.
Jadi, haram hukumnya mengucapkan Selamat Hari Natal/Christmas.”