Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat hari ini dan telah menerima laporan berkenaan perkembangan politik terkini di negeri Perak.
Majlis Presiden juga telah membincangkan penurunan penarafan Malaysia dari AAA- ke BBB+ pada 4 Disember oleh Fitch Ratings. Ini adalah satu tamparan hebat buat Kerajaan, khususnya Menteri Kewangan.
Ia menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola Kerajaan, lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan Kerajaan pada Mac lalu.
Kesan penurunan penarafan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius ini.
Perdana Menteri seharusnya mengangkat prinsip ketelusan dan tatakelola yang baik dengan pelaksanaan langkah-langkah seperti tender terbuka dan pelantikan profesional bukannya ahli-ahli politik ke dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), antara lainnya. Malangnya, ini tidak berlaku di bawah pentadbiran sedia ada.
Oleh itu, demi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan halatuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi, dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara,
Majlis Presiden Pakatan Harapan berpendirian bahawa Kerajaan perlu menyegera dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa Ahli-Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember.
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
7 DISEMBER 2020.