Pandang serius laporan mengenai rasuah ‘kartel’ daging

 

Oleh B. Suffian

Kerajaan harus memandang serius terhadap laporan-laporan media mengenai rasuah melibatkan ‘kartel’ pengimportan daging.

Peguam, Syahredzan Johan berkata, pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus segera menjalankan siasatan yang menyeluruh ke atas perkara yang didedahkan oleh laporan-laporan tersebut. 

“Perkara ini, sekiranya benar, sekali lagi menunjukkan bahawa rasuah dan korupsi adalah barah dalam masyarakat.

“Ia bukan sahaja merugikan negara dari segi wang ringgit, tetapi boleh menghakis keyakinan umum terhadap integriti daging-daging halal yang dibawa masuk ke dalam negara, di samping menimbulkan keraguan terhadap keselamatan makanan di Malaysia,” katanya.

Syahredzan merujuk kepada laporan-laporan New Straits Times semalam dan hari ini berkenaan dengan sebuah ‘kartel’ yang mengimport daging ke Malaysia.

Menurut laporan-laporan tersebut, kata beliau, kartel itu bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi kerajaan untuk membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal. 

“Juga menurut laporan-laporan tersebut, antara daging-daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal. 

“Laporan-laporan tersebut juga mendakwa bahawa pegawai-pegawai yang terlibat telah menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging tersebut,” katanya.

Tambah Syahredzan yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, laporan-laporan tersebut telah menimbulkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan umat Islam di Malaysia

Status halal daging-daging yang berada di pasaran Malaysia jelasnya, mendapat kepercayaan yang tinggi di kalangan rakyat, khususnya yang beragama Islam. 

Di samping itu, beliau memberitahu, laporan-laporan tersebut juga menimbulkan persoalan mengenai keselamatan makanan (food safety) di Malaysia yang bukan sahaja melibatkan mereka yang beragama Islam, tetapi juga rakyat Malaysia secara amnya.

“Dilaporkan bahawa daging-daging yang dibawa masuk adalah haiwan yang berpenyakit atau daging yang berkualiti rendah.

“Ia sudah tentu akan memberi kesan kepada keyakinan orang ramai terhadap status halal daging-daging tersebut dan juga dari aspek keselamatan makanan, termasuk cara daging-daging ini dikendalikan dan disimpan,” katanya.