Grand Coalition sepatutnya tambah Ahli Parlimen pembangkang jadi kerajaan

 


Grand Coalition (GC) yang masih diperbincangkan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) seharusnya mencanangkan idea membentuk Kerajaan Persekutuan dengan penambahan sokongan Ahli-ahli Parlimen pro-PH.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, sekiranya jumlah Ahli Parlimen pembangkang hanya sekitar 108 orang, maka hal itu bukanlah idea yang menarik untuk menubuhkan GC.

"Mereka yang mencadangkan benda yang pelik-pelik ini kekal juga 108 Ahli Parlimen. Kalau ditubuhkan Grand Coalition maka kita boleh jadi 114, 115, itu baru namanya Grand Coalition.

"Kalau kita hanya kekal dengan 108, itu bukan Grand Coalition, itu dinamakan kumpulan pembangkang. GC ini maknanya kita nak tambah lagi, tetapi apa penambahbaikan yang kita nak buat?

"Tak boleh macam itu (tanpa tambah ahli), saya tak setuju, kalau nak buat kena ada objektif, sekarang pembangkang tetap pembangkang (dengan jumlah 108)," katanya kepada Suara Keadilan.

Sebaliknya, Abdullah mencadangkan agar PH sebagai gabungan parti pelbagai kaum dimantapkan lagi.

Beliau mengingatkan rakan-rakan pimpinan parti komponen agar berhati-hati dengan idea baharu kerana berkemungkinan ada pihak yang mahu menyingkirkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

"Saya tak nampak matlamat (lebih jauh) GC, sudah ada Pakatan Harapan cukuplah. Tak perlu Grand Coalition pun.

"Sekarang Grand Coalition ini, apa yang tersirat saya nampak permainan Dr Mahathir, Shafie nak jadi Ketua Pembangkang. Itu pada pandangan saya," katanya.

Menurut Abdullah lagi, idea politik gabungan besar pembangkang mungkin perancangan licik untuk memperkecilkan peranan parti komponen PH tertentu yang tidak semestinya baik untuk masa hadapan politik ketiga-tiga parti komponen.

 

No comments: