Peja kini jadi wakil rakyat biasa, tak dilantik menteri
Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan akan menganggotai Kabinet seperti didakwa sesetengah pihak.
Selepas meletak jawatan menteri besar pada 5 Disember lepas, beliau berkata, tugasnya kini tertumpu sebagai Ahli Parlimen Tambun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang.
“Tidak, saya nafikan berita kononnya bakal ditawarkan jawatan lain pada peringkat kerajaan pusat. Saya ok sahaja jadi wakil rakyat biasa.
“Apa yang ada pun dah cukup buat saya, malah sekarang saya rasa lebih relaks dan tenang setelah melepaskan jawatan. Saya pun dah serah kenderaan rasmi. Sekarang saya pandu kereta sendiri,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.