Annuar Musa adalah Ahli Parlimen UMNO Ketereh, Kelantan dan kini memegang jawatan Setiausaha Agung BN.
Sebelum ini, beliau adalah Setiausaha Agung UMNO di mana beliau dilantik memegang jawatan itu setelah tewas kepada Mohamad Hasan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan 2018 lalu.
Tetapi sekarang tempatnya sebagai Setiausaha Agung UMNO diambil alih oleh Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian.
Dalam kabinet, berikutan tertubuhnya kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin, Annuar dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Sudah tentu perlantikannya dalam kerajaan itu atas kapasitinya sebagai pemimpin UMNO.
Tetapi, jika kita perhatikan kebelakangan ini, kecondongan hati Annuar lebih kepada Bersatu berbanding UMNO.
Dalam hal yang sama, sokongannya juga terarah banyak untuk mempertahan dan mengekalkan lagi Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Pendirian Annuar itu sama sekali berbeza dengan UMNO yang memutuskan hanya bekerjasama dan berada dalam kerajaan PN sehingga PRU15 saja dan selepas itu ingin kembali dominan mengetuai kerajaan seperti dahulu.
Sebab itu, UMNO mengambil pendirian tidak menyertai PN, sebaliknya kekal bersama BN, disamping mengukuhkan lagi kedudukannya dengan bermuafakat bersama Pas.
Jelas bahawa dengan pendirian itu, UMNO mahu pemimpinnya sendiri sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 nanti, sementara Annuar pula mahu Muhyiddin terus dikekalkan lagi.
Di beberapa keadaan, terutama dalam hal yang berkaitan untuk menjatuhkan Muhyiddin, Annuar jelas berpihak kepada Presiden Bersatu itu.
Berkaitan kerjasama juga, Annuar secara terbuka mahu UMNO, Pas dan Bersatu berpadu tenaga menghadapi PRU15 akan datang.
Kecenderungan itu tanpa keraguan bermakna beliau mahu UMNO terus menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Keadaan itu berbeza dengan pendirian kebanyakan pimpinan UMNO serta majoriti di akar umbi yang merasakan Bersatu harus diketepikan bukan saja kerana keberadaan parti itu yang dilihat mengganggu dominasi UMNO, malah juga disebabkan ramai pengkhianat UMNO berada ke dalam Bersatu.
Disebabkan keinginannya mengekalkan lagi Muhyiddin, Annuar akan segera bersuara bila saja ternampak kedudukan Muhyiddin cuba digugat, termasuk menegaskan mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang didapati menyokong Anwar Ibrahim perlu meninggalkan parti.
Ratib yang selalu diulang-ulangnya ialah prinsip UMNO “No Anwar No Anwar”, walaupun sebenarnya yang mahu “membunuh” UMNO adalah Bersatu.
Lantaran itu, selain ramai pemimpin UMNO yang melabelkan Annuar sebagai pro Bersatu, malah ada juga yang menyarankan agar beliau segera berpindah keahlian menyertai parti pimpinan Muhyiddin itu.
Sejujurnya, bukan saja dalam UMNO dan BN, bahkan di mana-mana parti sekali pun, watak seperti Annuar itu bukanlah sesuatu yang sihat dan menyenangkan.
Seseorang itu seharusnya sentiasa bersama parti dan gabungan yang didokongnya, bukan memperlihatkan kecondongan kepada pihak di luar daripada parti atau gabungan yang disertainya.
Mengambil watak Annuar itu, di dalam PH pun sudah ternampak ada seorang dua pemimpinnya yang dilihat berperangai sama.
Kalau berkaitan PH, mereka selalu diam membisu saja, termasuk dalam isu-isu yang melibatkan serangan terhadap pimpinannya sendiri.
Kononnya, itulah keterbukaan dan di luar kawalan mereka untuk mengawalnya.
Tetapi, bila saja ada pihak di luar PH yang bersuara tentang perubahan kepimpinan dalam gabungan itu serta perlunya pihak lain di bawa menyertai PH, termasuk mereka yang pernah khianat dan keras hati enggan bekerjasama sebelum ini, mereka itu dengan pantasnya bersuara dan memberi sokongan.
Sama seperti Annuar yang lebih memihak kepada Muhyiddin berbanding pemimpin daripada UMNO sendiri, mereka yang berkenaan juga lebih mengagungkan pemimpin pembangkang di luar PH daripada Anwar yang sedia ada menerajui PH.
Apa patut kita buat dengan mereka?
(Shahbudinditcom 14/12/2020)