Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mengakui kurang berpuas
hati apabila sidang Parlimen ditamatkan lebih awal, meskipun telah diberitahu
bahawa ada kemungkinan ahli dewan terdedah kepada kakitangan Dewan Negara yang
didapati positif COVID-19.
Beliau menganggap pemeriksaan kesihatan telah diadakan dengan
begitu rapi dan terperinci bagi membolehkan ahli parlimen bersidang di Dewan
Rakyat pada bulan ini.
"Semua ahli dewan telah membuat saringan COVID-19, dan semua
SOP dijaga dengan baik.
"Jadi saya amat terkejut apabila masa dipendekkan hanya
sampai pukul 1pm kerana kita ada banyak isu dan perkara yang perlu dibahaskan.
Kalau dipendekkan masa bersidang, maka akan terjejas urusan ahli
parlimen," katanya.
Beliau juga berpendapat kerajaan seharusnya mengambil gambaran
yang lebih besar terhadap apa yang dihadapi rakyat ketika ini.
"Saya tidak nampak rasional untuk kurangkan masa kerana
COVID-19 ini boleh serang kita bila-bila masa sahaja, ia tidak bercuti selepas
1pm.
"Saya nampak ada keperluan untuk berbahas, kerajaan sekarang
pun besar, sepatutnya bawa lebih banyak dasar atau rang undang-undang untuk
bantu rakyat.
"Kalau kita hanya bercuti, banyak undang-undang tidak dapat
dilaksanakan, saya amat kecewa dengan keputusan ini," katanya.