Apabila usul untuk memendekkan tempoh sidang Parlimen pada minggu
ini diluluskan, timbul persoalan sama ada Belanjawan 2021 akan dibentangkan
seperti biasa pada Jumaat ini.
Ini kerana, pembentangan untuk belanjawan tahunan kerajaan pada
kebiasaannya akan diadakan di sebelah petang, iaitu pukul 3 petang.
Perkara ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng
yang mempersoalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan
Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan sama ada usul itu akan turut meliputi
hari Jumaat iaitu hari pembentangan Belanjawan 2021.
"Walaupun untuk minggu ini sahaja dan sungguh pun ketua whip
telah bersetuju, tapi ketua parti-parti masih belum dimaklumkan.
"Saya ada bincang dengan Ketua Pembangkang dan kita hormat
apa yang dicapai, tetapi saya nak dapat briefing dulu sebelum buat
keputusan dari pihak parti dan Pakatan Harapan (PH).
"Sebabnya, ini sesuatu yang unprecedented,
sekurang-kurangnya kami dapat maklum balas, ini agak penting kerana ia
melibatkan sovereignty and supremacy of parliament.
"Jangan hakis hak ahli parlimen di sini untuk berbahas
seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat," katanya.
Takiyuddin bagaimanapun menjelaskan pihak kerajaan masih belum
membuat keputusan sama ada Belanjawan 2021 akan dibentangkan seperti biasa
kerana usul yang dibuat hanya berkuatkuasa untuk satu hari sahaja.
"Usul yang dibuat hanya untuk hari ini sahaja, usul yang
melibatkan hari bajet belum diputuskan lagi, jadi usul ini untuk hari ini
sahaja.
"Usul esok untuk esok, jadi esok kena buat usul lagi,"
katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching meminta
kerajaan supaya menambah hari bersidang sekurang-kurangnya untuk seminggu.
"Memandangkan sidang dipendekkan ke pukul 1 petang dan
dipersetujui semua, boleh saya minta untuk mesyuarat akan datang supaya jumlah
hari boleh ditambah lagi.
"Ini disebabkan minggu ini hanya ada setengah hari,
sekurang-kurangnya panjangkan satu minggu lagi supaya semua orang ada masa yang
mencukupi untuk berbahas rang undang-undang yang akan dibentangkan.
Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran pula berharap kerajaan
mempertimbangkan untuk meneruskan sidang Parlimen secara maya.
"Kalau kita adakan parlimen maya (virtual), semua ini
dapat diselesaikan, kalau negara-negara lain adakan secara maya kenapa Malaysia
tak boleh.
"Kalau ada perubahan dengan peraturan mesyuarat, kita boleh
buat dengan serta-merta, kenapa kita tak utamakan perkara ini," katanya.