Oleh Wong Kah Woh
(Ahli Parlimen Ipoh Timor dan mantan Pengerusi SEDA)
Saya telah menerima jawapan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bertarikh 10.11.2020 yang menyatakan kementerian sedang mengkaji semula sasaran 20 peratus tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2025 dan hendak menetapkan satu sasaran TBB yang lebih inklusif.
Ini adalah amat mengejutkan dan jelas Malaysia di bawah pemerintahan Kerajaan PN telah hilang hala tuju dalam pembangunan TBB.
Sebelum ini, Kerajaan PH telah menetapkan sasaran peningkatan TBB dalam penjanaan elektrik ke 20 peratus menjelang tahun 2025, tidak termasuk penjanaan hidro besar yang melebihi 100 megawatt
Sasaran ini, antara lain, dapat membantu dalam penurunan pelepasan karbon negara dan berpotensi untuk menjana RM33.2 bilion pelaburan dan 100,000 peluang pekerjaan baharu.
Kerajaan PN tidak mempunyai kemahuan politik untuk membangunkan sektor TBB di Malaysia dan jawapan dari KeTSA tersebut menunjukkan Kerajaan PN seolah-olah mengaku kalah sebelum masuk medan perang, walaupun kita masih ada masa empat tahun untuk mencapai sasaran 20 peratus yang ditetapkan.
Sekiranya KeTSA tidak mempunyai idea baharu, sekurang-kurangnya ia boleh meneruskan hala tuju MESTECC yang telah ditetapkan sebelum ini.
Antaranya, Renewable Energy Transition Roadmap (RETR) yang merupakan usahasama jabatan-jabatan seperti Sektor Tenaga MESTECC, SEDA, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan pemegang kepentingan industri terbabit telahpun dimuktamadkan sejak bulan Februari 2020 yang lepas dan sedia untuk dilancarkan pada bulan April 2020.
Namun, tiada sebarang perkembangan untuk pelancaran RETR setelah pengambilalihan pemerintahan oleh Kerajaan PN. Kita juga tidak nampak apa-apa usaha baharu dalam sektor pembangunan TBB diumumkan oleh Kerajaan PN. Apa yang sudah berlaku?
Pada masa yang sama, atas kegagalan pemerintahan Kerajaan PN dalam memahami keperluan industri, pemain industri TBB juga berasa kehilangan hala tuju dan keyakinan apabila tiada apa-apa pengumuman oleh Kerajaan PN berkenaan dengan rancangan pasca-NEM 2.0 (Net Energy Metering 2.0).
Pemerintahan PH sebelum ini telah memperkenalkan konsep “1 to 1 off-set” yang lumayan dalam NEM 2.0 dan membawa pengambilan kuota NEM yang besar dalam masa 2 tahun kebelakangan ini.
Laman sesawang SEDA menunjukkan hampir 400 megawatt kuota NEM telah dipenuhi dan ini bermaksud lebih 95 peratus kuota yang dipenuhi ini adalah hasil daripada konsep baharu di bawah NEM 2.0.
NEM 2.0 akan tamat tempohnya pada 31.12.2020 dan sehingga kini, industri masih sedang menunggu jawapan sama ada NEM 3.0 akan diperkenalkan dan sama ada ia akan meneruskan pulangan “1 to 1 off-set” seperti dalam NEM 2.0. Kelewatan ini telah menyebabkan pelabur dan pemain industri telah hilang keyakinan.
Kerajaan PH telah meletakkan segala usaha di atas landasan yang betul dan Kerajaan PN hanya perlu memastikan prestasi pelaksanannya. Namun, Kerajaan PN nampaknya bersikap lebih cenderung untuk mematikan polisi-polisi baik tersebut.