1. Telah terhampar di pelbagai saluran media mengenai ura-ura
penangguhan undian belah bahagi Belanjawan 2021.
2. Antaranya ialah laporan Awani (https://www.astroawani.com/.../undi-belanjawan-2021...) yang
menurut sumbernya "ia ditangguhkan ke hari Isnin (30 Nov) di atas sebab
kerajaan kurang sokongan yang diperlukan". Ini Awani yang tulis, bukan
rekayasa penyedap cerita.
3. Di kesempatan ini ingin saya ucapkan tahniah kepada Ahli
Parlimen Pasir Mas yang berani membabarkan 3 pilihan sekiranya Belanjawan 2021
ditolak. Ternyata Ahli Parlimen penyokong kerajaan sendiri mengakui penolakkan
RUU Perbekalan kali ini adalah bersifat 'inevitable' dengan izin.
4. Namun kenyataan Ahli Parlimen Pas itu telah disanggah oleh
Ahli Parlimen Umno 'Blok Menteri', Tan Sri Annuar Musa. Menurut beliau, perkara
tersebut tidak berbangkit. Belanjawan (akan) diluluskan dengan mudah katanya.
5. Justeru itu berbalik kita kepada soal pokok, mengapa harus
Belanjawan 2021 ini ditunda lagi seandainya pihak kerajaan atau wakilnya yakin
sokongan akan melepasi angka 111?
6. Untuk pengetahuan semua, tarikh asal undian belanjawan jatuh
pada 23 November 2020 (Takwim Pra - 2 November). Tarikh ini ditunda ke 25hb
November dan kemudian ditunda untuk kali kedua ke tarikh 26 November 2020.
Sudah ada tiga tarikh undian, sila jangan lari.
7. Penundaan pada tarikh lain akan jelas memperlihatkan suatu
kecurigaan khususnya dalam soal sokongan majoriti terhadap Perdana Menteri
serta belanjawan itu sendiri. Adakah ia akan terus ditunda atau apakah mungkin
Parlimen didaruratkan sehingga sokongan terhadap bajet tersebut mencukupi?
8. Menyebut soal sokongan terhadap bajet yang kononnya dikhaskan
sebagai Bajet Covid-19, saya percaya bajet tersebut pasti disokong oleh 220
Ahli Parlimen sekiranya ia benar-benar berlandaskan kepentingan negara dalam
memerangi Covid-19.
9. Tetapi malangnya bajet tersebut tidak melambangkan Bajet
Covid-19 sebagaimana yang dihuraikan dalam perbahasan di Parlimen. Bajet ini
adalah sangat wajar ditolak dan sebilangan besar ahli parlimen termasuk dari
kalangan penyokong kerajaan telah sedia menolak Bajet 2021.
10. Akhir kalam, janganlah ditunda lagi tarikh undian bajet.
Ianya harus berlangsung pada 26 November 2020. Penundaan pada tarikh ke-4 bakal
meletakkan negara di persada kecelaruan politik dan krisis keyakinan yang
dahsyat. Usah tangguh lagi, hadap je lah!
Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger