DALAM INI HANYA ADA 4 ORANG SAHAJA YANG MASIH MENYOKONG...2 AHLI PARLIMEN LAGI SUDAH NYATAKAN PENDIRIAN BERSAMA PEJUANG..
MENOLAK BELANJAWAN 2021
1. Kita telah melihat betapa mengecewakan proses perbahasan
Belanjawan berjalan beberapa hari kebelakangan. Selain dari perbahasan yang
terhad, tidak ada sebarang tanda dipihak Kerajaan untuk mendengar atau menerima
pandangan yang telah diajukan oleh ahli-ahli parlimen mahupun kritikan rakyat
yang boleh kita dengar rintihan mereka melalui laman-laman media sosial dan
juga pemimpin-pemimpin masyarakat.
2. Sebaliknya, pihak Kerajaan bertindak mengugut ahli-ahli
Parlimen dengan naratif bahawa jika Belanjawan 2021 tertolak maka gaji, elaun
dan pencen penjawat awam dan “frontliners” tidak dapat dibayar. Selain itu,
ugutan juga menjurus kepada cubaan menimbul rasa kurang senang dikalangan
rakyat bahawa jika Belanjawan tidak lulus maka bantuan-bantuan kewangan tidak
akan sampai kepada rakyat yang amat memerlukannya pada ketika ini.
3. Saya telah terangkan sebelum ini bahawa jika Belanjawan tidak
lulus ia tidak akan menghalang penyaluran gaji, pencen dan elaun penjawat awam
dan “frontliners”. Begitu juga dengan bantuan kewangan untuk keperluan rakyat
tidak akan terjejas.
4. Penyaluran kewangan tanpa Belanjawan diluluskan telah berlaku
pada tahun 1999 untuk sesi Belanjawan tahun 2000.
5. Selain itu, Kerajaan juga memilih tidak menerangkan bahawa
segala perbelanjaan untuk penjawat awam dan “frontliners” sudah diperuntukkan
sehingga akhir bulan Januari tahun 2021.
6. Yang kelihatan menjadi keutamaan Kerajaan ialah untuk
memastikan Belanjawan yang tidak mementingkan rakyat tetapi mementingkan
kelangsungan politik ini dilulus seberapa segera yang mungkin.
7. Kita dapat lihat bagaimana isu kuarantin ahli Parlimen dari
Sabah yang menyokong Kerajaan mendapat layanan “double-standard”. Tiba-tiba
sahaja, kuarantin 14 hari yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan kepada
mereka yang terlibat di dalam pergerakan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak
dan kembali tidak lagi menjadi satu ketetapan.
8. Kerana apa dasar atau ketetapan ini tidak berkuat-kuasa? Ia
kerana undi ahli-ahli Parlimen ini perlu kepada Kerajaan untuk meluluskan
Belanjawan. Setiap perlakuan dan pertukaran dasar dan ketetapan dibuat seperti
menukar pakaian semata-mata untuk kepentingan politik.
9. Yang menjadi mangsa ialah rakyat. Apabila rakyat tidak
mengikut peraturan atau ketetapan itu, mereka didenda dan dihukum. Jika ahli
Parlimen dipihak Kerajaan melakukannya, peraturan ditukar dan mereka bebas dari
sebarang hukuman.
10. Jadi, apakah yang akan berlaku jika Belanjawan 2021 tidak
lulus?
11. Pertamanya, ia akan bukti bahawa Kerajaan telah hilang
“legitimacy” kerana ia tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk melulus
Belanjawan.
12. Apabila ini berlaku, jika Perdana Menteri seorang yang
bermaruah ia akan meletak jawatan.
13. Seterusnya, jika di dalam suasana biasa, ia boleh
menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Palimen.
14. Tetapi masa sekarang, ketika Negara dilanda pandemik
COVID-19, keadaan adalah amat luar biasa dan pengalaman pilihanraya di Sabah
baru-baru ini memperlihat bahawa mengadakan pilihanraya umum bukanlah satu
pilihan malahan jika dipilih boleh membawa kemudaratan.
15. Kerana itu, proses yang mungkin boleh dipertimbang ialah
memberi peluang kepada Parlimen untuk menentu siapakah dikalangan ahli-ahli
Parlimen yang ada yang mempunyai sokongan majoriti.
16. Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ahli Parlimen
tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih untuk menjadi
Perdana Menteri untuk menubuh Kerajaan yang baru dan berkhidmat sehingga tamat
penggal pemerintahan dan tiba masa untuk pilihanraya umum ke-15 diadakan.
17. Ini akan dapat memastikan bahawa Kerajaan baharu ini
mempunyai legitimacy dan tidak dipersoalkan seperti Kerajaan pintu belakang
sekarang ini.
18. Setelah Kerajaan baharu dapat ditubuh, maka Kerajaan ini
boleh memilih untuk membentangkan Belanjawan yang baru ataupun mengambil
Belanjawan yang telah ditolak dan dilakukan pindaan-pindaan yang telah diminta
dahulu.
19. Semua ini dapat dilakukan di dalam sidang Parlimen khas dan
tidak akan mengambil masa yang begitu lama.
20. Kerana itu, saya dan rakan-rakan mengambil ketetapan menolak
Belanjawan 2021 dan kami lakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah
yang kami pegang bagi pihak rakyat sehingga penggal perkhidmatan kami sebagai
wakil rakyat tamat.
Terima kasih.