Buktikan majoriti di Parlimen, baru kupas baik buruk belanjawan, kata pemimpin PKR kepada Muhyiddin

 

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mendesak Muhyiddin Yassin membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri untuk menamatkan pertikaian mengenai tahap sokongan beliau di Dewan Rakyat.

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin harus membuktikan keabsahannya sebagai perdana menteri di Dewan Rakyat terlebih dahulu jika mahukan Ahli Parlimen menilai Belanjawan 2021 berdasarkan kebaikannya semata-mata, kata seorang pemimpin PKR.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, tidak timbul soal Pakatan Harapan (PH) menggunakan belanjawan itu untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin asalkan Ahli Parlimen Pagoh itu menyelesaikan isu keabsahan kerajaan pimpinannya terlebih dahulu.

“Ahli Parlimen pembangkang seboleh-bolehnya tak mahu menggunakan belanjawan sebagai pertaruhan untuk mengukur sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan (majoriti) atau tidak.

“Tetapi Muhyiddin kena selesailah isu undi tak percaya terhadap beliau. Jika dia tak mahu (melalui) undi tidak percaya, beliau perlu pilih undi percaya. Jika dia menang dalam undi percaya atau tidak percaya, dia ada cukup bilangan (maka) kerajaan dia sah dan tiada lagi berlarutan isu belanjawan untuk jatuhkan beliau,” kata Hassan kepada FMT.

Hassan bersetuju bahawa Belanjawan 2021 yang dibentangkan PN harus diukur dari segi merit, namun proses itu dikekang dengan keengganan Muhyiddin membuktikan keabsahan beliau sebagai perdana menteri.

“Jika Muhyiddin tidak hormati usul undi tidak percaya, PH tiada pilihan lain, maknanya belanjawan ini akan dijadikan suatu kaedah untuk mengukur secara objektif bahawa Muhyiddin ada sokongan atau tidak, (sama ada) kerajaan ini sah atau tidak.

Beliau berkata, itu akan dilakukan menerusi undian ke-3 Belanjawan 2021 pada peringkat jawatankuasa iaitu sama ada menerusi undi belah bahagi atau undian suara.

Hassan berkata, masih belum terlambat untuk Muhyiddin “membawa dulu usul percaya, baru teruskan bahas untuk bacaan ke-3.”

“Sampai bila Muhyiddin nak biarkan belanjawan ini menjadi pertaruhan untuk ukur sama ada dia ada sokongan atau tidak. Ini tidak bertanggungjawab. Dia kena selesaikan isu (keabsahan) dia dulu.

Hassan berkata, jaminan Muhyiddin untuk mengadakan pilihan raya umum apabila pandemik Covid-19 berakhir adalah cubaan mengelak perkara pokok.

“Jangan susah-susah fikir nak adakan PRU. Bentangkan sahaja undi percaya itu. Ini takkan membabitkan berjuta-juta rakyat, hanya 200 lebih Ahli Parlimen sahaja,” kata Hassan.

Hassan berkata Muhyiddin, dengan sendirinya akan memulangkan mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan pilihan mereka jika membenarkan undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Rakyat.

“PRU dalam keadaan sekarang tak sesuai, Covid tak tahu bila akan pulih. Tak perlu terburu-buru untuk adakan PRU. Isu sekarang adalah usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Ahli Parlimen PH dan Pejuang,” kata beliau.

Semalam, ketika merasmikan persidangan tahunan ke-3 PPBM, Muhyiddin berkata Belanjawan 2021 tidak harus ditolak semata-mata untuk mencetuskan pembubaran Dewan Rakyat dan pilihan raya umum.

Muhyiddin menegaskan kalau ikut hatinya “mungkin semalam lagi saya nasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya bubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan.”

Namun, realiti adalah PRU15 hanya boleh diadakan apabila pandemik Covid-19 berakhir, kata beliau.