Tentera bantu tangani wabak Covid-19 di Penjara Pokok Sena

 


Angkatan tentera menempatkan 2 pegawai perubatan, 5 paramedik dan 2 anggota semboyan pasukan di pusat rawatan sementaranya di Penjara Pokok Sena bagi membantu menangani jangkitan wabak Covid-19 bermula 20 Okt ini. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan pusat rawatan sementara atau “makeshift treatment center” (MTC) dalam Penjara Pokok Sena, Kedah bagi membendung penularan Covid-19.

Markas Kedua Divisyen Infantri dalam kenyataan malam tadi memaklumkan Pasukan B Komp 2 Bn Ubat diatur gerak bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan akan beroperasi pada 20 Okt.

“Pusat ini didirikan bagi memberi rawatan kepada tahanan yang mempunyai jangkitan Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Pasukan perubatan itu diketuai pakar perubatan kesihatan awam Jabatan Perubatan Tentera Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Dr Mohd Arshil Moideen, penolong ketua pengarah Perkhidmatan Kesihatan 2 Div, Dr Faira Rosmarina Mohd Rustam dan pegawai pemerintah B Komp 2 Bn Ubat Dr Muhammad Asyraf Khairul Hasni.

Pegawai Kementerian Kesihatan Putrajaya turut ditugaskan memberi nasihat teknikal untuk mendirikan pusat rawatan tersebut.

Menurut kenyataan itu, 2 pegawai perubatan, 5 paramedik dan 2 anggota semboyan pasukan akan diatur gerak sepanjang pengoperasian pusat rawatan tersebut.

“B Komp 2 Bn Ubat telah mengatur gerak aset logistic, iaitu khemah yang akan digunakan sebagai wad ICU, pusat nyah kuman, ‘donning and doffing station’, khemah pengurusan sisa klinikal, makmal, bilik gerakan dan sistem pancuran untuk petugas serta set generator,” menurut kenyataan itu.

Atur gerak aset dan pegawai serta anggota tentera bagi misi ini akan diletak di bawah pemantauan Panglima 2 Divisyen Arman Rumaizi Ahmad.



No comments: