Apa yang kebanyakan orang faham, PM Interim (sementara) ini
hanya wujud kebiasaannya apabila situasi politik negara tidak menentu, tidak
dapat dipastikan siapakah di kalangan Ahli Parlimen yang mendapat sokongan
tertinggi atau pun proses untuk melantik seorang PM itu terpaksa mengambil masa
agak panjang atas sebab-sebab tertentu.
Pada bulan Feb yang lalu, Tun M pernah dilantik sebagai PM Interim
setelah beliau meletakkan jawatan. Ini terpaksa dilakukan kerana ketika itu
belum jelas adanya mana-mana Ahli Parlimen yang dapat membuktikan telah
mendapat sokongan majoriti. Waktu itu, PH sibuk mengumpulkan sokongan begitu
juga dengan Muhyidin. Maka, sementara itu Tun M dilantik sebagai PM Interim
sehinggalah masing-masing dipanggil ke Istana untuk menunjukkan sokongan.
Apabila Tuanku berpuas hati dan merasakan telah ada seorang Ahli Parlimen yang
mendapat majoriti, maka barulah diberikan tarikh untuk angkat sumpah sebagai
PM.
Berbeza kali ini. Kali ini, Anwar Ibrahim sendiri telah
memaklumkan kepada Istana bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti yang
kukuh bagi membolehkan beliau mengambil semula kerajaan yang telah dirampas
secara khianat itu. Beliau meminta agar PM untuk memberikan kerjasama
meletakkan jawatan kerana telah kehilangan sokongan, kecuali Muhyidin
membuktikan sebaliknya. Sehingga kini, Muhyidin tidak berupaya membuktikannya
sedangkan rakyat dapat melihat satu persatu Ahli-Ahli Parlimen menunjukkan
tiada lagi sokongan terhadapnya.
Tiba-tiba muncul cerita akan ada PM Interim. Kita tertanya-tanya
atas apa keperluan PM Interim ini di dalam keadaan salah seorang Ahli Parlimen
telah menyatakan dirinya telah mendapat sokongan kukuh? Sebab itu saya tidak
percaya cerita berkenaan PM Interim ini. Saya yakin, proses yang digunakan
sewaktu Muhyidin diangkat sebagai PM dahulu akan dipraktikkan kali ini untuk
menunjukkan bahawa keluhuran undang-undang dan keadilan itu dapat
diperlihatkan.
Sebarang desakan atau cubaan untuk mempengaruhi Istana agar
melaksanakan sesuatu yang berbeza dari amalan sebelum ini adalah dianggap satu
penghinaan dan tidak kepercayaan kepada Ke Bawah Duli Tuanku. InsyaAllah, kita
perlu bersabar sedikit masa lagi untuk kita merayakan kemenangan mengambil
semula hak kita yang telah dirompak itu.
WFAUZDIN NS