Nampaknya Perikatan Nasional
(PN) sudah terdesak untuk mengekalkan kuasanya dalam kerajaan pusat sehingga
laskar sibernya mendedahkan sepucuk surat daripada Zahid Hamidi kepada Yang
di-Pertuan Agong kononnya beliau menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim
sebagai perdana menteri.
Surat itu bertarikh 11 Oktober
2020 itu iaitu dua hari sebelum Anwar bertemu dengan Agong, namun hanya
tersebar di media sosial semalam.
Dalam surat tersebut, Zahid
serta kesemua Ahli Dewan Rakyat UMNO telah menarik balik sokongan terhadap Tan
Sri Muhyiddin Yassin dan memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi
serta setia kepada Anwar sebagai Perdana Menteri
Surat itu juga didakwa dihantar
sendiri oleh Zahid kepada Agong, bersekali dengan tandatangannya dan
tandatangan Najib Razak sebagai saksi dan penyokong.
Namun surat itu ternyata palsu,
setelah pegawai media Zahid, Ibrahim Yahaya mengesahkannya dan menganggap ia
sebagai fitnah yang berterusan.
Hakikatnya, pendedahan surat
palsu cumalah satu lagi helah untuk menekan dan memaksa Anwar untuk mendedahkan
nama dan bilangan ahli parlimen yang menyokong beliau.
Lagipun, surat itu hanya tular
di media sosial sehari selepas Anwar dipanggil ke Bukit Aman untuk memberikan
keterangan, itupun untuk mengetahui senarai ahli parlimen yang menyokong
beliau.
PN hanya perlukan beberapa nama
yang menyokong Anwar supaya mereka boleh "berjual beli" bagi
mengukuhkan kembali sokongan terhadap Muhyiddin, yang ternyata sudah kehilangan
majoriti.
Anwar sudah tentu tidak akan
sekali-kali mendedahkan ahli parlimen yang menyokong beliau, memandangkan itu
melibatkan kepercayaan antara dirinya, ahli parlimen lain dan melibatkan
kepercayaan Agong sendiri.
Jelaslah bahawa surat palsu
Zahid itu sekadar satu cubaan untuk mengganggu-gugat sokongan ahli parlimen
terhadap Anwar.
Surat palsu tersebut juga
secara tidak langsung memberi bayangan bahawa kerajaan PN berada di ambang
kejatuhan.